Para Ilmuwan Duta Kedamaian Dan Keharmonian Negara

Para Ilmuwan Duta Kedamaian Dan Keharmonian Negara

Peranan dan tanggungjawab golongan intelektual negara amat dihargai dan dialu-alukan kerana menyumbang untuk kerajaan dan rakyat demi pembangunan pendidikan dan pengajian tinggi serta pembangunan kelestarian masa hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam ucapannya berkata selain kerjasama strategik, kementerian turut memberi peluang dan ruang kepada para akademia negara untuk turut sama memberi idea dan sumbangan kepada pembangunan insan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

"Banyak polemik yang berlaku di negara ini dan keharmonian hidup yang dirintis sekian lama perlu dipertahankan dari terus terhakis sedikit demi sedikit" ujar beliau.

Justeru, YB Timbalan Menteri menyokong inisiatif golongan pemikir negara ini sebagai duta kedamaian yang juga duta perpaduan. Apa jua kebencian yang merebak, sewajarnya golongan inilah yang selayaknya ke hadapan memadam api kebencian.

Dalam masa yang sama, peranan kerajaan dalam mendukung kemajuan pendidikan tinggi juga semakin terserlah dengan adanya 'sistem sokongan' golongan akademia atau pemikir negara yang sentiasa berganding bahu.

Pemikir negara yang terdiri daripada kalangan para profesor yang sentiasa memberi pandangan dan buah fikiran yang bernas dalam membantu kerajaan memperkukuhkan lagi dasar-dasar Kementerian.

Terdahulu YB Timbalan Menteri turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada 100 orang anak-anak dari Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat sempena Program Semarak Kasih Majlis Profesor Negara (MPN).

Hadir sama, Presiden Majlis Profesor Negara, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1212
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 30 Oktober 2024, 10:30:11.

logo-sirim