KPT Salur Peruntukan RM300 Ribu Untuk UTeM Perkasakan Aktiviti Mahasiswa

KPT Salur Peruntukan RM300 Ribu Untuk UTeM Perkasakan Aktiviti Mahasiswa

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM300 ribu kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi menyemarakkan lagi agenda pemerkasaan mahasiswa di situ.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, peruntukan tersebut merangkumi RM100,000 untuk kegunaan Pusat Pelajar, manakala RM200,000 lagi untuk memperkasakan Sasana Niaga yang selama ini berperanan sebagai hab keusahawanan mahasiswa UTeM.

Selain itu, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM untuk penganjuran pelbagai aktiviti pelajar.

Beliau yang baru selesai menggulung Rang Undang-Undang Akta Universiti dan Kolej Universiti Pindaan 2023 (RUU AUKU 2023) di Parlimen petang tadi terus ke Melaka untuk bersama mahasiswa dan kakitangan UTeM menjayakan program Semarak Ramadan KPT di situ.

Berkenaan RUU AUKU 2023, beliau berharap agar MPP UTeM dapat memanfaatkan pindaan-pindaan baharu yang bertujuan untuk memberikan gerakan pelajar lebih peranan serta tanggungjawab setelah diwartakan kelak.

Ruang bersama mahasiswa tersebut turut diisi dengan sesi santai di Sasana Niaga dan lawatan ke kolej kediaman pelajar dengan menaiki bas baharu UTeM.

Pada masa sama, YB Menteri turut menyempurnakan penyerahan wang sumbangan dan zakat berjumlah RM3.7 juta daripada UTeM sebagai bantuan kepada para pelajarnya yang terpilih sebagai tujuan menanggung kos dan kemudahan pengajian masing-masing.

Dalam program petang tadi, YB Menteri berbuka dengan makan bertalam dan seterusnya turut menunaikan solat fardu dan solat sunat tarawih berjemaah bersama semua warga UTeM. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 412
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.