Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 Platform Memartabatkan Suara Mahasiswa

Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 Platform Memartabatkan Suara Mahasiswa

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan penglibatan golongan mahasiswa secara aktif dalam bersama-sama memberi saranan serta idea bagi membangunkan pendidikan tinggi yang lebih berkualiti.

Disifatkan sebagai sebuah perkembangan yang baik, KPT komited untuk menimbang segala pandangan, saranan dan pengamatan yang dikongsikan oleh golongan tersebut demi penambahbaikan sektor pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika menyampaikan Penggulungan usul Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 (PMK 23) di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia semalam.

PMK 23 yang julung kali diadakan dianjurkan oleh KPT tersebut telah dijayakan dengan kerjasama Parlimen Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah bersidang selama dua (2) hari dan berhasrat menjadi sebuah platform untuk mahasiswa IPT menyuarakan dan mengupas secara intelektual serta berhemah isu-isu berkaitan kesemua teras perbahasan.

Seramai 187 orang perwakilan mewakili Mesyuarat Perundingan Pelajar (MPPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kesatuan Mahasiswa merangkumi pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta dari seluruh negara telah membahaskan empat (4) teras perbahasan iaitu ekonomi, kebajikan, pemerkasaan mahasiswa serta pengantarabangsaan.

Kemuncak majlis turut menyaksikan YB Menteri telah menyampaikan Anugerah Pembahas Terbaik bagi setiap empat teras iaitu Kebajikan kepada saudara Agha Khilfi Suarno (UMPSA); Pemerkasaan Mahasiswa kepada saudara Kavines Nair Nathan (UUM); Pengantarabangsaan kepada saudari Emina Kulasic Bing Ei Min (UUM); serta Ekonomi kepada saudara Mohamad Luqman Hafiz (UNITEN) yang turut dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Keseluruhan PMK 23.

Kesemua usul terbaik yang telah dibahaskan melalui PMK 23 akan diangkat sebagai agenda perbincangan MPPK yang dijadualkan akan membuat pertemuan dengan YAB Perdana Menteri pada hujung tahun kelak.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3309
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.