UMT Lepas 10 Ribu Benih Ketam Nipah Inisiatif Perkasa Pendapatan Komuniti Nelayan Sedili Kecil

UMT Lepas 10 Ribu Benih Ketam Nipah Inisiatif Perkasa Pendapatan Komuniti Nelayan Sedili Kecil

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk memainkan peranan dan tanggungjawab dalam memastikan ilmu dan kepakaran yang menjadi tujahan masing-masing dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat.

Program Mesra Rakyat dan Pelepasan Benih Ketam Nipah Bersama Komuniti Sedili Kecil misalnya, berjaya menghubungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang biologi marin dengan para nelayan di sini bagi mencapai objektif untuk meningkatkan keterjaminan bekalan makanan negara.

YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika melancarkan program tersebut pagi tadi, turut menyatakan bahawa inisiatif di bawah tanggungjawab sosial UMT ini adalah selari dengan ketetapan yang dimandatkan KPT kepada semua IPT di Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi itu turut berkata, tanggungjawab sosial yang dijayakan oleh UMT ini menepati gagasan yang dikehendaki KPT iaitu sebuah program yang mapan dan bermanfaat kepada rakyat bukan sahaja untuk jangka masa pendek, malah untuk jangka masa panjang juga.

Beliau yang diiringi oleh Naib Canselor UMT, YBhg. Prof. Dato' Dr. Mazlan Abd Ghaffar, turut melepaskan kira-kira 10 ribu benih ketam nipah di kawasan Sungai Sedili Kecil yang menurut kajian UMT bakal membiak di ekologi bersesuaian terbabit, sekali gus akan menjadi sumber tangkapan kepada para nelayan setempat kelak.

Program seumpama ini tegas beliau, seharusnya disambut baik oleh komuniti di sini dan kawasan-kawasan lain juga bagi merebut peluang menimba ilmu dan kearifan yang dikongsi oleh IPT dalam ikhtiar meningkatkan taraf kehidupan serta sosioekonomi mereka.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2300
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.