Penglibatan Kumpulan Konglomerat Tempatan Rancakkan Sektor Pendidikan Tinggi Negara

Penglibatan Kumpulan Konglomerat Tempatan Rancakkan Sektor Pendidikan Tinggi Negara

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong usaha sektor Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) memperkasakan penawaran program mereka dalam menarik minat generasi muda meneruskan pengajian.

Penglibatan konglomerat besar dalam sektor pendidikan tinggi negara seperti Kumpulan BERJAYA turut dialu-alukan bagi merancakkan lagi pilihan pengajian yang bukan sahaja mampu menarik pelajar tempatan, malah antarabangsa juga.

Usaha tersebut dapat dilihat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ketika membuat lawatan kerja ke Kolej Universiti BERJAYA yang turut menempatkan Kolej TVET BERJAYA di ibu negara pagi tadi.

Pengarah Eksekutif, BERJAYA Corporation Berhad merangkap Pengerusi, Lembaga Governan, Kolej Universiti BERJAYA, Norlela Baharudin telah memberi taklimat berkenaan latar belakang dan pencapaian terkini IPTS tersebut.

Menawarkan pengajian pelbagai disiplin merangkumi program asasi hinggalah ke Doktor Falsafah, Kolej Universiti BERJAYA turut memfokuskan tujahan dalam bidang TVET yang berkaitan perniagaan kumpulan konglomerat tersebut terutamanya dalam bidang kulinari, hospitaliti, peruncitan dan perkhidmatan makanan (F&B).

Para pelajar bukan sahaja berpeluang menimba ilmu dengan tenaga pengajar pakar dan berpengalaman, malah turut diberi keutamaan untuk direkrut terus ke mana-mana rangkaian perniagaan dan francais kumpulan BERJAYA yang luas di seluruh Malaysia.

Dalam kunjungan tersebut, YB Timbalan Menteri turut melancarkan Pusat Informasi Edutourism Kolej Universiti BERJAYA yang menempatkan makmal e-pelancongan, serta dibawa melawat ke bilik kuliah, dapur serta fasiliti-fasiliti lain di situ. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 604
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.