Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2023 (MQAIC 2023)

Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2023 (MQAIC 2023)

Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2023 (MQAIC 2023) berlangsung dengan jayanya di Hotel Hilton, Kota Kinabalu pada Selasa.

Majlis ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyediakan platform membincangkan peranan yang dimainkan oleh MQA bagi menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara.

Tahun ini, MQA mengangkat tema 'Curating Future Quality for Higher Education' sebagai pengisian persidangan dengan pelbagai program serta menampilkan gabungan

pakar yang menyampaikan ucaptama, perbincangan panel, pleno dan jaringan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucaptamanya pada majlis ini selain turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MQA dengan Independent Agency for Accreditation and Rating (IAAR) Kazahkstan serta Higher Education Evaluation and Accreditation Council of Taiwan (HEEACT).

Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam dunia pendidikan tinggi konvensional sering wujud konflik antara fleksibiliti dalam pendidikan dan keperluan untuk mempertahankan kualiti serta piawaian tertentu.

Bagaimanapun, katanya, sinergi antara fleksibiliti dan kualiti penting kerana fleksibiliti membolehkan kita menyesuaikan diri dengan dinamik pembelajaran masa hadapan.

"Pembelajaran masa depan memerlukan kita untuk menunjukkan daya tahan dan ketangkasan semasa kita mengharungi pelbagai cabaran.

"Oleh sebab itu, masa depan pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia memerlukan fleksibiliti pembelajaran lebih berstruktur yang mampu meningkatkan ketahanan kita terhadap pendidikan masa depan," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2023 (MQAIC 2023) di Kota Kinabalu, hari ini.

Persidangan dua hari ini dihadiri 300 orang peserta terdiri daripada pakar jaminan kualiti, pembuat dasar, ahli akademik, pegawai bahagian jaminan kualiti IPT, pemain industri dari United Kingdom, Jerman, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Hong Kong, Taiwan, China dan Indonesia.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif(JP); Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansur; serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari yang juga Pengerusi MQAIC 2023.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1115
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.