Politeknik Merlimau Terus Fokus Memperkasakan TVET

Politeknik Merlimau Terus Fokus Memperkasakan TVET

Sementara di Jasin, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah meneruskan lawatan kerjanya ke Politeknik Merlimau (PMM) serta menyempurnakan simbolik sambutan 20 tahun penubuhan politeknik tersebut.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah disambut oleh Pengarah, Norizam Sekak serta kakitangan dan para pelajar PMM.

Dalam kunjungan tersebut, YB Menteri telah menerima taklimat berkenaan pencapaian serta hala tuju PMM menjayakan pelan strategik 2024-2030 mereka yang fokus dalam memperkasakan gagasan TVET negara.

Ketika bercakap di hadapan warga PMM, YB Menteri telah menegaskan bahawa generasi baharu mahasiswa masa kini perlu belajar bersunggguh-sungguh kerana merekalah tonggak harapan negara.

Perubahan yang berlaku di seluruh pelusuk dunia - kecerdikan buatan (AI), digitalisasi, tenaga hijau - menuntut kerajaan melalui KPT menyediakan prasarana serta program yang cocok dan mampan, jelas beliau lagi.

Justeru, PMM diseru untuk bekerjasama dengan semua pemegang taruh termasuklah Kerajaan Negeri Melaka dan pemain industri dalam menunaikan tanggungjawab tersebut sesuai dengan usaha melahirkan bakat tempatan yang mampu mendepani cabaran serta keperluan pasaran masa hadapan.

Selain itu, YB Menteri setelah mendengar taklimat daripada Pengarah PMM, turut menyatakan komitmen beliau dalam menyelesaikan isu-isu membabitkan infrastruktur politeknik tersebut supaya proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berterusan dengan suasana yang terbaik dan sejahtera.

Hadir sama ADUN Merlimau merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, YB. Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 770
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.