Kolej Komuniti Jasin Perlu Fokus Pemindahan Ilmu Kepada Masyarakat

Kolej Komuniti Jasin Perlu Fokus Pemindahan Ilmu Kepada Masyarakat

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah membuat lawatan kerja rasmi ke Kolej Komuniti Jasin (KKJ) pagi tadi.

Disambut oleh Pengarahnya, Mohd. Nazri Ismail dan warga KKJ, YB Menteri telah diberi taklimat berkenaan pencapaian serta hala tuju kolej tersebut dalam menjayakan satu daripada lima (5) fokus kementerian iaitu pemindahan ilmu kepada masyarakat.

Dalam titipan amanatnya kepada warga KKJ tadi, beliau menekankan peri pentingnya kerjasama dengan komuniti setempat juga Kerajaan Negeri Melaka dalam menentukan keperluan kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang bersesuaian.

Malah, penglibatan dengan pihak industri turut disaran agar program yang ditawarkan dapat melahirkan graduan yang dapat memenuhi pasaran, sekali gus mampu menjana ekonomi negeri yang lebih mampan dan sejahtera.

Ditubuhkan tahun 2003, KKJ sehingga kini telah melahirkan lebih 3600 orang graduan dalam bidang Senibina, Logistik, Pengkomputeran dan Multimedia Kreatif.

Pada kunjungan tersebut, YB Menteri bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Azhan Md. Amir turut mengambil maklum berkenaan keperluan KKJ dalam meneruskan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat setempat.

Hadir sama ADUN Merlimau merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, YB. Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 639
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.