Timbalan Menteri Gesa Isu Bekalan Air Di UMS Dapat Ditangani Segera

Timbalan Menteri Gesa Isu Bekalan Air Di UMS Dapat Ditangani Segera

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menggesa agar isu bekalan air yang berlaku di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kawasan sekitarnya dapat ditangani dengan segera.

Jelas beliau, UMS bergantung kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebagai sumber bekalan air utama kampus bagi kegunaan harian sekitar 20,000 warga universiti.

Ujarnya, isu bekalan air di kampus UMS dan kawasan sekitar berlaku susulan permintaan domestik yang tinggi melebihi penawaran bekalan air.

Di peringkat UMS, telah digerakkan beberapa langkah alternatif untuk mengurangkan kesan isu bekalan air termasuk membangunkan beberapa telaga tiub bagi mendapatkan bekalan air bawah tanah.

Pembangunan telaga tiub ini juga sedang diperluaskan lagi dengan pengumuman peruntukan tambahan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2023 serta pengumuman peruntukan tambahan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada minggu lalu.

Namun jelas YB Datuk Ts. Mustapha, pembangunan telaga tiub ini adalah langkah alternatif yang dimainkan UMS dan bersifat jangka pendek kerana penyelesaian secara total kepada isu bekalan air ini masih bergantung kepada JANS.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan ke UMS pada Sabtu dan turut diberi maklumat tambahan mengenai perkembangan pembangunan telaga tiub.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Naib Canselor UMS, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 579
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.