Semarak Siswa Madani Sabah: Kembara Santuni Calon Pelajar Di Sandakan

Semarak Siswa Madani Sabah: Kembara Santuni Calon Pelajar Di Sandakan

Hari ketiga Program Semarak Siswa Madani Sabah telah meneruskan kembara ke daerah Sandakan siang tadi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal yang mengetuai delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menyerahkan surat tawaran kemasukan ke Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kepada dua (2) orang pelajar di Sungai Manila dan Kampung Sundang Laut.

Beliau turut menyampaikan Wang Pendahuluan Pelajar berjumlah RM 1,500 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta sumbangan bakul rahmah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) kepada mereka.

Usai menyantuni calon pelajar, YB Timbalan Menteri terus ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan yang menempatkan Fakulti Pertanian Lestari bagi membuat lawatan kerja rasmi beliau ke situ.

Beliau telah diberi penerangan berkenaan pencapaian serta perancangan kampus UMS Sandakan dalam meningkatkan lagi enrolmen pelajar, kerjasama penyelidikan, pembangunan infrastruktur dan hubungan strategik dengan komuniti sebelum dibawa melawat ke kawasan sekitar.

Selesai di sini, Program Siswa Madani Sabah akan meneruskan jelajah ke lokasi seterusnya iaitu Penampang dan Putatan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1765
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.