UPSI Smarthome Schooling@Johor Bantu Tingkatkan Kualiti Pendidikan Murid B40

UPSI Smarthome Schooling@Johor Bantu Tingkatkan Kualiti Pendidikan Murid B40

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini telah merasmikan UPSI Smarthome Schooling@Johor di SMK Jaafar Albar, Kota Tinggi, Johor.

Dengan peruntukan sebanyak RM30,479.00, program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan murid B40 berfokus kepada calon SPM 2023 dalam 5 mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah serta menggunakan 5 modul komprehensif berasaskan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Bagi merealisasikan program ini, sesi menandatangani Surat Akujanji (LoU) di antara 6 buah sekolah di Daerah Kota Tinggi iaitu SMK Air Tawar, SMK Seri Aman, SMK Bandar Easter, SMK Lokman Hakim, SMK Tan Sri Jaafar Albar dan SMK Bandar Kota Tinggi turut diadakan.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan Majlis Daerah Kota Tinggi, bakal mengadakan program ini bermula pada 1 Ogos 2023 sehingga 22 Oktober 2023, melibatkan 6 buah sekolah terlibat.

YB Menteri turut menyerahkan sumbangan melanjutkan pelajaran daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi kepada pelajar yang berkenaan serta penyerahan sumbangan bantuan one-off berjumlah RM58,000 kepada 7 buah sekolah iaitu SMK Tan Sri Jaafar Albar, SK Seri Setia Jaya, SK LKTP Tenggaroh Selatan, SK Lok Heng Selatan, SK Bandar Easter, SK Datuk Ismail Saadon dan SK Sedili Kecil.

Turut berlangsung ialah sesi penyerahan sijil Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan peruntukan sebanyak RM454,500 kepada 303 pelajar di kawasan Kota Tinggi yang berjaya melanjutkan pengajian diperingkat Diploma di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Di akhir program, YB Menteri turut merasmikan Bas Pendidikan atau UPSI Edu Bus yang merupakan satu medium pendidikan mobil dengan dilengkapi alatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Dengan kerjasama bersama Creative Mind Sdn. Bhd. dan Yayasan Telekom Malaysia Berhad, program TM Future Skill Certification dijalankan secara selari dengan pergerakan bas ke sekolah-sekolah untuk memberi pendedahan berkaitan dunia digital dan literasi STEM dalam kerjaya.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1873
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.