UPSI Disaran Lahirkan Pendidik Dalam Bidang STEM, TVET Untuk Malaysia Juga Antarabangsa

UPSI Disaran Lahirkan Pendidik Dalam Bidang STEM, TVET Untuk Malaysia Juga Antarabangsa

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diseru untuk bangunkan kursus dan kurikulum yang mampu melahirkan tenaga pendidik berkualiti dan terbaik bagi bidang TVET di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia.

Malah, UPSI boleh memainkan peranan lebih besar dalam sistem pendidikan negara dengan melahirkan para pendidik dalam bidang STEM supaya minat generasi muda terhadap bidang itu dapat diperkasa sedari bangku sekolah lagi.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sesi lawatan kerja rasminya ke UPSI pagi tadi.

Seusai menerima pembentangan berkenaan pencapaian serta hala tuju daripada Naib Canselor UPSI, YBhg Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff, YB Menteri turut menyaksikan pertukaran nota kerjasama antara UPSI dengan beberapa syarikat besar antaranya H3C, Microsoft, Todak dan Asia Digital Engineering.

Seterusnya beliau telah dibawa melawat ke sekitar pameran yang memaparkan produk hasil inovasi serta penyelidikan UPSI.

Tambah YB Dato' Seri Mohamed Khaled, UPSI turut diminta untuk dapat membangunkan pelan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang membolehkan subjek TVET Termaju (Advanced TVET) diajar menggunakan teknologi digital terkini seperti AI dan metasemesta (metaverse) sekali gus dapat mengurangkan kos pembelian jentera atau mesin yang mahal.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap agar UPSI dapat meneroka peluang melatih para pendidik tempatan yang dapat memenuhi permintaan pasaran di negara luar sambil merangka pelan pembangunan keupayaan (capacity building) yang mampu melatih bakat berkemahiran di peringkat antarabangsa.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1939
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.