Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi Memeta Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara

Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi Memeta Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung selama dua (2) hari di ibu negara bermula pagi tadi.

Wacana ini bakal memeta hala tuju serta pemugaran idea baharu sektor pendidikan tinggi Malaysia melibatkan penyertaan kira-kira 500 orang pemimpin institusi pendidikan tinggi awam dan swasta; golongan akademia serta pihak industri.

Objektif pelaksanaan wacana ini adalah bagi merangka hala tuju strategik KPT berdasarkan aspirasi YAB Perdana Menteri serta pemegang taruh KPT; menyelaras semula pelaksanaan strategi KPT; mencadangkan program dan inisiatif berdasarkan kluster perancangan hala tuju KPT; serta membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan penyelesaian.

Pelaksanaan objektif wacana ini diterjemahkan dalam bentuk beberapa sesi pembentangan dan forum secara interaktif yang dibarisi oleh para pembentang dan ahli panel yang berwibawa serta pakar dalam bidang masing-masing.

Sesi ini juga memberi peluang kepada semua pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi untuk berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing dengan pucuk pimpinan negara dan kementerian, khususnya untuk merangka strategi dalam mendepani cabaran-cabaran masa kini dan akan datang.

Inti pati perbincangan dalam semua sesi ini nanti akan digunakan sebagai input bagi hala tuju pendidikan tinggi negara dan membangunkan pelan pendidikan tinggi yang baharu yang akan tamat tempoh pada tahun hadapan.

Kementerian yakin dengan sinergi sumbangan idea daripada semua pemegang taruh dalam wacana ini akan menghasilkan strategi berimpak tinggi dan berkesan bagi memacu landskap pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih cemerlang. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1695
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.