Wacana Strategi KPT Berlangsung Dengan Jayanya

Wacana Strategi KPT Berlangsung Dengan Jayanya

Usai sudah Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung selama dua (2) hari di ibu negara dan berjaya mengumpulkan cadangan serta cabaran bagi memantapkan lagi sektor pendidikan tinggi negara.

Majlis penutup petang tadi telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri oleh Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Para pemegang taruh dari Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta termasuklah pihak industri telah berforum dan mencari titik temu merangkumi topik Malaysia MADANI di era pasca normal; serta persediaan KPT dalam mengharungi dunia kecerdasan buatan (AI).

Malah turut dibicarakan berkenaan peranan KPT sebagai penyedia bakat negara; menggiatkan program pemindahan ilmu; serta usaha-usaha pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi IPT di bawah kementerian.

Selain itu, wacana dua (2) hari yang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri semalam turut membentangkan dua (2) buah laporan iaitu berkaitan horizon baharu ilmu sains, teknologi dan inovasi; serta transformasi dan pemerkasaan ekosistem TVET.

Menurut YB Menteri, KPT akan melakukan anjakan paradigma dengan memberi penekanan kepada pelaksanaan segera dasar, program serta langkah intervensi bagi menyahut cabaran Perdana Menteri bagi IPT tempatan berubah dan mampu bersaing di pentas global.

"la (wacana ini) juga memberi peluang untuk kami mengukuhkan perkara yang telah dirancang dengan mendengar pandangan pihak luar tentang program serta rancangan sedia ada KPT", jelasnya lagi.

Beliau turut akan meneruskan dasar dan perancangan KPT sebelum ini yang telah dipersetujui sama ada di peringkat universiti, politeknik dan kolej komuniti. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1468
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.