Menteri Pendidikan Tinggi Adakan Lawatan Kerja Rasmi Ke UMS

Menteri Pendidikan Tinggi Adakan Lawatan Kerja Rasmi Ke UMS

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan kerja rasmi pertamanya ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi bertemu pengurusan universiti serta menyantuni pelajar UMS.

Beliau yang hadir bersama Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud disambut oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

Dalam lawatan kerjanya, YB Menteri dan delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diberi taklimat ringkas berkaitan pencapaian dan hala tuju UMS, selain turut mengadakan sesi interaksi bersama pengurusan universiti dalam satu pertemuan yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS.

Seterusnya, beliau dibawa melawat kolej kediaman pelajar UMS bagi meninjau sendiri keadaan fasiliti yang tersedia di kolej kediaman, serta mengadakan pertemuan dengan pelajar bagi mendapatkan maklum balas mereka tentang sebarang isu yang dihadapi sepanjang menjalani kehidupan di dalam kampus dalam satu sesi ramah mesra.

YB Menteri juga turut berkesempatan menyampaikan bantuan kewangan one-off berjumlah RM500 kepada 15 pelajar UMS yang disumbangkan oleh Yayasan Perkasa Siswa bagi meringankan beban mereka sepanjang menjalani pengajian di universiti.

Beliau kemudiannya dibawa melawat dan meninjau Hatceri UMS serta mendengar taklimat berkenaan kemudahan penyelidikan yang terdapat di Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB).

Untuk rekod, seramai 278 pelajar akuakultur telah dihantar ke Jepun menjalani latihan industri akuakultur sejak tahun 2003. Manakala pada 2 Mei 2024 ini seramai 13 orang pelajar program akuakultur, Fakulti Sains dan Sumber Alam pula akan bertolak ke Jepun untuk menjalani program latihan industri selama 3 bulan di mana pelajar-pelajar ini akan ditempatkan di Kindai Universiti (Wakayama), Tanoura Fisheries (Okayama), Nagasaka Eel Farm (Aichi) and Olive Suisan (Kagawa).

Turut hadir pada sesi lawatan kerja tersebut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 899
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.