Kejayaan Atlet IPT Bukti Pencapaian Objektif Dasar Pembangunan Sukan IPT

Kejayaan Atlet IPT Bukti Pencapaian Objektif Dasar Pembangunan Sukan IPT

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melaksanakan pelbagai strategi dan komitmen dalam menjayakan objektif Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (DPSIPT) yang mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara lahir daripada ekosistem IPT.

Sasaran tersebut turut dijalankan sambil memastikan pelajar IPT yang bergiat aktif dalam bidang sukan mendapat kebajikan dan manfaat sepanjang penglibatan mereka tanpa mengabaikan pembangunan akademik.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Encik Mohamad Azhan Md. Amir berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia 2023 (MASUKM 2023) semalam.

Tambahnya, KPT akan terus memberikan sokongan kepada atlet-atlet IPT untuk memacu kejayaan, terutamanya dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang akan berlangsung tahun ini.

"DPSIPT yang dilancarkan pada 2009 itu kini dalam proses semakan terakhir untuk kita memperkemaskannya dan insya-Allah akan dilancarkan semula sebelum akhir tahun ini", jelasnya lagi.

Sebanyak 25 anugerah telah diberikan kepada para atlet pada MASUKM kali ini dengan legenda badminton Malaysia, Datuk Rashid Sidek dinobat sebagai penerima Anugerah Legenda Sepanjang Zaman.

Penganjuran MASUKM 2023 merupakan sebuah manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada para atlet, pengurus, jurulatih serta penggiat sukan UKM dan diharap mampu memberi motivasi supaya mereka terus berusaha mencapai kecemerlangan di masa hadapan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohamad Abd. Razak; Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; serta Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dato’ Dr. Pekan Ramli. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1300
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 03 Mei 2024, 17:19:48.