YB Timbalan Menteri Rasmi Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2023 Peringkat KPT

YB Timbalan Menteri Rasmi Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2023 Peringkat KPT

Pemilihan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini telah berjaya mengangkat aspirasi tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, aman dan sejahtera.

Jelas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal, aspirasi tersebut turut telah diterjemahkan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan pelbagai pengisian yang dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dan cinta akan negara.

Beliau yang berucap merasmikan majlis penutup Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 KPT di sini petang tadi berkata, semangat patriotik tidak terhad kepada perjuangan di medan perang atau berkorban nyawa.

Ia turut boleh disubur dan dijaga dengan pelbagai program bercirikan kebangsaan yang mampu mencari titik kebersamaan antara kaum supaya kesepaduan sesama kita akan jadi lebih kuat dan selamat dari ancaman anasir-anasir luar.

Pada sambutan kali ini, KPT telah menganjurkan banyak program dan pertandingan yang telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para kakitangan dan pelajar, antaranya Pameran Kemerdekaan; Hiasan Mural Kemerdekaan; Hiasan Kemerdekaan Ruang Pejabat; Pertandingan Video Pendek Kemerdekaan; dan Explorace Merdeka.

Di kesempatan itu, YB Timbalan Menteri yang diiringi oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, serta pegawai kanan kementerian telah menyampaikan hadiah dan anugerah kepada para pemenang yang bertuah.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan setinggi tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan sambutan peringkat kementerian kali ini.

Pesan beliau kepada para hadirin, "Bersama-samalah kita terus teguh berdiri, dengan hati yang merdeka, memandang masa depan dengan jiwa yang gagah, senada seirama, sehati sejiwa... Kita Segulai Sejalai terus bangkit, semarakkan tekad, memakmurkan Malaysia".

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1325
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.