logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO’ DR. MEGAT SANY BIN MEGAT AHMAD SUPIAN
TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (DASAR)

MAJLIS MEMPERKENALKAN PASUKAN MALAYSIAN UNIVERSITY KE KEJOHANAN LIGA BOLA SEPAK WANITA (LWN) 2023

4 OGOS 2023


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum W.B.T, Selamat Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Yang Berbahagia Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar)
Universiti Teknologi MARA

Pn. Fazidah Binti Mustafa
Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik
Kementerian Pendidikan Tinggi

YBrs. Dr. Shahrulfadly bin Rustam
Pengarah
Akademi Kecergasan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia 

En. Ahmad Tarmizy Bin Mohamed
Pengarah
Pusat Sukan
Universiti Teknologi MARA 

Wakil dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) 

Atlet- atlet, rakan-rakan media, Tuan-tuan, Puan-puan, Saudara-saudari dan para hadirin yang saya hormati sekalian.

1.     Terlebih dahulu, sukalah saya melahirkan rasa penuh kesyukuran kehadrat Allah S.W.T, kerana dengan limpah, kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama berkumpul dalam Majlis Memperkenalkan pasukan Malaysian University ke kejohanan Liga Bola Sepak Wanita (LWN) 2023 pada petang ini. Izinkan saya terlebih dahulu merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak Seksyen Sukan yang sudi menjemput saya untuk bersama-sama dengan para atlet dan tuan/puan pada petang ini .

2.   Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sukan merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan kita. Sukan secara lazimnya akan dikaitkan dengan kekuatan dan keupayaan fizikal seseorang individu menguasai kemahiran, strategi serta taktikal sesuatu acara atau aktiviti sukan.

3.     Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Seksyen Sukan sentiasa menyokong usaha-usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di dalam membangunkan sukan Bola Sepak Wanita di negara ini. Bagi maksud tersebut, peranan Pusat Sukan Tumpuan (PST) Bola Sepak iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) harus diperluaskan kepada pasukan Bola Sepak Wanita dan tidak tertumpu pada Bola Sepak lelaki sahaja. Kementerian dan Universiti-universiti harus sama-sama berganding bahu dan membantu UiTM dalam usaha untuk meningkatkan pendayaupayaan dan pemerkasaan golongan wanita di negara ini melalui pelbagai program dan inisiatif sukan supaya pengupayaan wanita dapat berada di tahap optimum dan semua golongan wanita dapat disantuni berlandaskan konsep inklusiviti.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4.     Saya dimaklumkan pasukan Malaysian University ini terdiri daripada mahasiswi-mahasiswi yang terdiri daripada 4 Universiti Awam iaitu Universiti Teknologi MARA(UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

5.     Pemain-pemain pasukan ini juga adalah merupakan atlet- atlet yang telah mewakili Sukan Sea dan AFF U-19 pada tahun 2023. Justeru itu, berbekalkan pengalaman yang diperolehi diharap pemain-pemain ini dapat membimbing rakan-rakan pasukan untuk sama-sama mencapai kemenangan di setiap perlawanan nanti.

6.  Kejayaan atlet-atlet IPT selepas pasca Covid-19 adalah sangat memberangsangkan. Hal ini terbukti dengan kejayaan di beberapa kejohanan yang disertai samada di peringkat Tempatan dan Kebangsaan. Baru- Baru ini, atlet Wushu yang juga mahasiswi dari Asia Pasific University (APU) iaitu Tammy tan telah mencipta sejarah baru dengan mendapatkan pingat emas pertama kejohanan Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE)  sejak penyertaan di Universiade KOBE, Jepun pada tahun 1985.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7.     Saya mengharapkan dengan semangat atlet Wushu Tammy tan ini, pemain-pemain Bola Sepak Wanita pasukan Malaysian University dapat menbanggakan warga IPT dan Kementerian khususnya dengan menjadi Juara bagi Liga Bola Sepak Wanita (LWN) pada tahun ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8.  Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih dan selamat berjuang kepada semua atlit dan pegawai yang akan mengharungi kejohanan ini. Semoga kita memperolehi kejayaan dan seterusnya melakar sejarah baru yang boleh dibanggakan.

Selamat Maju Jaya.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan TKSUD Sempena Majlis Memperkenalkan Pasukan Malaysian Univeristy Ke Kejohanan Liga Bola Sepak Wanita (LWN) 2023.pdf (134 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2506
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.