logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO' DR. HAJI MEGAT SANY BIN MEGAT AHMAD SUPIAN
TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (DASAR)

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI DENGAN XOX BERHAD DAN VMR THREE SDN BHD DALAM PROGRAM KEUSAHAWANAN MYSISWA SERTA WAWASAN JAYA ELITE SDN BHD DALAM BIDANG KEBOLEHPASARAN GRADUAN

31 JULAI 2023


MUKADIMAH

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, dapat kita bersama- sama pada hari ini di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan XoX Berhad dan VMR Three Sdn Bhd dalam Program Keusahawanan MySiswa serta dengan Wawasan Jaya Elite Sdn Bhd dalam Bidang Kebolehpasaran
  1. Untuk makluman semua, pemeteraian MoU pada hari ini merupakan manifestasi komitmen serta sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menjayakan pelaksanaan dua inisiatif melibatkan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi merangkumi universiti awam, universiti dan kolej universiti swasta, politeknik dan kolej
  1. Inisiatif pertama adalah Program Keusahawanan MySiswa yang bertujuan untuk menawarkan manfaat keperluan mahasiswa serta meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan berkaitan telekomunikasi dan digital. Manakala inisiatif kedua bertujuan untuk menangani isu berkaitan dengan kebolehpasaran graduan.
  1. Justeru, di kesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga syarikat yang terlibat dalam kolaborasi dengan pihak KPT pada hari ini kerana telah membuka ruang untuk menjayakan inisiatif yang amat bermakna serta dilihat selari dengan hala tuju strategik KPT.
  1. Selain daripada itu, tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat kerana telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis pada pagi ini.

MEMBENTUK KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN DI KALANGAN PELAJAR

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Salah satu fokus utama KPT bagi tahun 2023 adalah untuk menjayakan agenda pemerkasaan mahasiswa yang mana antara matlamat utamanya adalah untuk memberi kuasa kepada mahasiswa dalam mencorak kehidupan di kampus.
  1. Kuasa yang dimaksudkan ini termasuklah memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk terlibat dalam pelbagai perniagaan kecil di kampus yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan sambilan serta perolehan pendapatan kepada mahasiswa.
  1. Penglibatan mahasiswa dalam perniagaan sebegini berupaya memupuk kemahiran keusahawanan di kalangan mereka sekaligus menyumbang kepada pembentukan graduan yang kreatif dan berdaya saing serta mampu mendepani cabaran sebenar di dunia luar selepas bergraduasi.

PELAKSANAAN PROGRAM KEUSAHAWANAN MYSISWA

  1. Justeru, dalam konteks pemerteraian MoU pada hari ini, Program Keusahawanan MySiswa akan melibatkan beberapa manfaat kepada mahasiswa yang dapat menyumbang ke arah hasrat tersebut.
  1. Dari segi memberi manfaat secara terus kepada mahasiswa, program ini akan melibatkan penawaran pakej perkhidmatan telekomunikasi dengan kadar yang berpatutan kepada mahasiswa, platform e-dagang dengan tawaran peralatan keperluan mahasiswa, e-wallet, jualan makanan dan minuman melalui smart vending machine dan perolehan mata ganjaran melalui loyalti programme.
  1. Dalam pada masa yang sama, program ini turut membuka peluang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam perniagaan melalui jualan simpack dan tambah nilai kredit bagi perkhidmatan telekomunikasi pra bayar serta perolehan pendapatan melalui pengurusan smart vending machine di kampus.
  1. Sehubungan dengan itu, saya difahamkan bahawa beberapa siri bengkel dan jelajah ke IPTA juga akan diadakan bagi memberi latihan kepada mahasiswa mengenai perkara ini. Sebagai permulaan, satu sesi taklimat berhubung Program Keusahawanan MySiswa kepada perwakilan-perwakilan pelajar IPTA dan pengarah- pengarah pusat keusahawanan akan diadakan pada petang ini setelah selesai Majlis.

PELAKSANAAN PROGRAM BAGI MENANGANI ISU KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Hadirin yang saya hormati,

  1. KPT juga sentiasa komited dalam memastikan graduan berjaya menempatkan diri mereka ke alam pekerjaan seusai menamatkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT). Bagi menjayakan hasrat ini, KPT telah melaksanakan program latihan berbentuk upskilling dan reskilling; Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan; Structured Internship Programme; membangunkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021-2025; dan melaksanakan strategi industry and academia are one melalui pelbagai program kerjasama bersama pihak
  1. Kementerian juga turut mengalu-alukan jalinan kolaborasi strategik bersama industri dalam menyumbang buah fikiran dan tindakan kepada pengukuhan dan peningkatan kebolehpasaran graduan. Justeru, pemeteraian MoU dengan Wawasan Jaya Elite Sendirian Berhad pada hari ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian dalam menangani secara bersama isu berkaitan dengan kebolehpasaran graduan.
  1. Melalui kolaborasi ini, kedua-dua Pihak akan menerokai program yang berkaitan dengan pemadanan kerja graduan yang bersesuaian dengan kelayakan, penyediaan syarikat untuk latihan industri dengan elaun yang bersesuaian serta menggalakkan jaminan pekerjaan kepada graduan yang sedang menjalani latihan industri.
  1. Besar harapan saya agar bidang kerjasama yang diketengahkan ini dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan kita di masa akan datang.

PENUTUP

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Dua memorandum yang bakal termeterai nanti merupakan salah satu lembaran baharu kepada kerjasama antara KPT dan industri dalam memperkasa mahasiswa. Semoga pelaksanaan program pada masa ini dapat menjadi penanda aras bagi melihat kesesuaian memperluas inisiatif ini di masa hadapan.
  1. Saya percaya, dengan adanya pelaksanaan program- program berbentuk keusahawanan serta kebolehpasaran graduan yang terselaras di peringkat nasional akan dapat membantu melahirkan pelajar yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang selaras dengan hasrat Kementerian. Semoga ikatan strategik ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih kukuh antara kesemua pihak pada masa hadapan.

Sekian.
Wabillahitaufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan TKSUD Bersempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara KPT Dengan XOX Bhd Dan VMR Three Sdn Bhd Dalam Program Keusahawanan MySiswa Serta Wawasan Jaya Elite Sdn Bhd.pdf (240 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3275
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.