logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN

KARNIVAL SUKAN MASUM

2024

22 April 2024 (Isnin)
8.30 pm

Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS),

Sabah


Terima Kasih Saudara/I Pengacara

Majlis,

Assalamualaikum W.B.T dan Salam
Sejahtera

Salam Perpaduan

Salam Malaysia Madani

Salam Sabah Maju Jaya

(RUJUK SALUTASI)

1. Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita semua merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya kita semua dapat bersama-sama pada malam ini bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Sukan MASUM 2024 di Universiti Malaysia Sabah Kota Kinabalu Sabah Negeri di Bawah Bayu. Selamat datang kepada semua saya ucapkan!

2. Sebelum saya teruskan, saya kira belum terlambat untuk saya turut mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445 H kepada semua. Semoga sambutan syawal tahun ini akan membawa lebih banyak keberkatan dan kejayaan kepada kita semua, insya-Allah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Saya sangat berbesar hati dan gembira berpeluang bertemu dengan para atlet daripada 20 Kontinjen Universiti Awam pada malam ini.

4. Penglibatan 20 kontinjen daripada universiti awam ini membuktikan bahawa mahasiswa-mahasiswi kita bukan sahaja komited di bilik kuliah tetapi juga berpotensi besar dalam bidang sukan.

5. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah buat Majlis Sukan Universiti Malaysia atau MASUM yang telah mencapai usia 50 tahunpenubuhanya dan terima kasih kerana terus menyediakan medium terbaik kepada atlet-altet mahasiswa kita untuk menyerlahkan bakat sukan masing-masing.

6. Ucapan terima kasih kepada Naib Canselor dan seluruh warga kerja Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana sudi menjadi tuan rumah kepada Karnival Sukan MASUM Fasa 1, 2024 yang secara rasminya bermula pada hari ini sehingga 27 April 2024 nanti.

7. Manakala terima kasih juga kepada pihak Universiti Malaya yang akan menjadi tuan rumah kepada Karnival Sukan MASUM bagi Fasa 2 yang akan berlangsung pada 5 hingga 11 Mei nanti.

8. Saya mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi amat menghargai komitmen dan kerja keras seluruh MASUM dan seluruh warga sukan universiti awam yang terus berusaha memperkasakan pembangunan sukan di IPT dan sebagai tulang belakang kepada pembangunan sukan negara.

9. Dengan usaha bersama kita semua, ia menunjukkan dengan sangat jelas bahawa selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyarakat, hubungan yang erat dengan industri, sektor pendidikan tinggi negara turut memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat dalam arena sukan. Baik di peringkat universiti, di peringkat kebangsaan mahupun di pentas dunia.

10. Pencapaian terkini yang amat membanggakan kita ialah apabila atlet angkat berat daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) iaitu Saudara Mohamad Aniq Kasdan yang merupakan mahasiswa jurusan Pengurusan Sukan UITM merupakan atlet IPT pertama layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

11. Kejayaan meraih emas pertama dalam acara wushu di penyertaan Sukan Universiti Dunia 2023 di Chengdu China, pada tahun lalu juga memberikan kita semangat dan harapan bahawa atlet-atlet IPT berada dalam landasan yang baik dan seiring dengan pembangunan sukan negara.

12. Manakala di Sukan Asia 2023, seramai 93 orang atlet-atlet IPT berjaya mempamerkan prestasi cemerlang dengan menyumbang sebanyak 17 daripada 32 pingat yang diperolehi kontinjen negara.

13. Jumlah ini bersamaan 53.13% atau separuh daripada pungutan pingat negara di Sukan Asia yang lalu adalah disumbangkan oleh atlet- atlet IPT. Syabas dan tahniah saya ucapkan! Sudah pastilah pencapaian tersebut amat memberangsangkan.

14. Sektor pendidikan tinggi negara haruslah terus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara kita dengan lebih kualiti dan ada mutu nilainya di persada dunia.

15. Sehubungan dengan itu, ianya berpandukan ekosistem pembangunan dan industri sukan secara menyeluruh. Bukan hanya sekadar mengesan, melatih dan menghantar atlet ke pertandingan.

16. Sebaliknya, banyak lagi aspek dan dimensi pembangunan sukan yang boleh disertai serta dibangunkan oleh sektor pendidikan tinggi negara.

17. Ini termasuklah menggunakan secara optimum dan strategik segala ilmu, penyelidikan, kepintaran saintis dan pakar sedia ada serta teknologi terkini yang dipunyai oleh sektor pendidikan tinggi.

18. Penciptaan pakaian atau peralatan sukan yang berteknologi tinggi, penghasilan menu atau rejim pemakanan dengan nutrisi terbaik, strategi permainan, analisis prestasi menggunakan big data dan analitik.

19. Kita mesti sedar, selain kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental, pembangunan sektor sukan sangat turut berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi.

20. Jadi, semua pihak terutamanya pihak universiti seharusnya menggunakan peluang ini untuk meneroka dengan lebih dalam lagi teknologi terkini dalam bidang sukan supaya ia dapat diaplikasikan untuk meningkatkan lagi kecemerlangan atlet-atlet kita.

Tuan-tuan, Puan-puan dan para atlet
yang diraikan sekalian ,

21. Pada tahun ini, sekali lagi kita akan menghantar Kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti ASEAN atau AUG edisi yang ke -21 di Surabaya dan Malang Indonesia bermula pada 25 Jun hingga 6 Julai 2024. Untuk makluman semua Kontinjen Malaysia kali ini akan melibatkan seramai 378 orang atlet dan pegawai dan akan mengambil bahagian dalam 17 acara sukan.

22. Bersama-sama kita berdoa agar para atlet yang terpilih dapat memberi aksi yang terbaik dan menambah baik punggutan pingat berbanding 49 pingat emas, 82 perak dan 46 gangsa.edisi ke-20 di Ubon Ratchathani Thailand.

23. Selain itu, saya juga berharap penyertaan atlet IPT kita dalam temasya ini bukan sahaja untuk mengukur kedudukan atlet IPT berbanding negara lain, malah sebagai medan menguji prestasi dan tahap persediaan bagi sesetengah atlet yang akan turut bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

24. Tunjukkanlah daya juang, semangat kesukanan serta nilai patriotisme yang akan membanggakan kita semua. Pastikan penyertaan dalam temasya ini memberi nilai tambah, pengamalan serta ilmu yang berguna kepada anda semua.

25. Akhir kata, sekali lagi, sekalung penghargaan saya zahirkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penganjuran Karnival Sukan MASUM 2024 di UMS dan UM pada tahun ini.

26. Kepada para atlet sekalian, bertandinglah dengan penuh semangat kesukakan, Ikhlas dan bersungguh-sungguh. Tahniah kepada yang bakal meraih pingat dan kepada yang belum berjaya jadikan kejohanan kali ini sebagai pembakar semangat untuk yang lebih baik.

27. Teruskan berjuang dengan semangat ‘Minda Juara’. Insya-Allah, pencapaian yang lebih gemilang akan dapat dikecapi.

28. DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM SAYA MERASMIKAN KARNIVAL SUKAN MASUM BAGI TAHUN 2024.

Sekian. Terima kasih.

Muat Turun:

     pdf Teks Ucapan – MASUM UMS 22 April (108 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2020
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim