logo kpt black

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA

MAJLIS TAUTAN KASIH AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA (MQA)

BERSAMA PENGAMAL MEDIA

22 APRIL 2024

Le Meridien Hotel, Putrajaya


Terima kasih saudari Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi

Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Salam Malaysia Madani.

(RUJUK SALUTASI)

1. Bersyukur kita dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat jua kita bersama pada pagi ini dalam Majlis Tautan Kasih Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersama Media tahun 2024.

2. Di kesempatan ini, masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua para tetamu yang hadir pada pagi ini.

3. Mewakili Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya berterima kasih kepada MQA kerana sudi menjemput saya dan tahniah kepada warga MQA atas penganjuran program yang amat signifikan ini.

4. Sebelum saya meneruskan ucapan, saya juga dimaklumkan bersempena dengan Majlis Tautan Kasih MQA bersama Media, kita turut akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MQA dengan Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT), Indonesia dan Peluncuran Sistem Akreditasi MQA yang dikenali sebagai ‘Electronic MQA Accreditation System’ atau e-MAS’.

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan setiap seorang daripada anda ke majlis hari ini.

Kehadiran anda secara langsung memberi indikator hubungan yang amat baik antara kementerian dan media, malah kami segenap warga kementerian termasuk setiap agensi di bawahnya sangat menghargai sokongan berterusan yang telah diberikan oleh anda semua.

6. Sehingga ke hari ini, saya teringat akan peranan penting yang dimainkan oleh para pengamal media dalam membentuk pendapat awam, mengekalkan akauntabiliti institusi, dan menggalakkan ketelusan dalam pentadbiran.

7. Pengabdian anda dalam mendedahkan kebenaran, melaporkan isu-isu penting, dan memperkasakan pelbagai suara adalah sangat dihormati dan dihargai.

8. Namun begitu, saya akui cabaran yang sering dihadapi oleh para pengamal media dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Sama ada mengendalikan tekanan politik, menghadapi maklumat palsu, atau menyesuaikan diri dengan teknologi yang berkembang, ketabahan dan dedikasi anda kepada kebenaran mencerminkan nilai etika anda sebagai seorang pengamal media.

Hadirin yang dihormati sekalian,

9. Dalam landskap media yang dinamik hari ini terutamanya melalui penyebaran platform digital dan aliran maklumat yang berterusan, peranan pengamal media sebagai penjaga pintu maklumat menjadi lebih kritikal daripada sebelum ini.

10. Tanggungjawab ini, hadir bersama sifat integriti dan komitmen untuk menegakkan etika kewartawanan. Kita perlu sedar, pengamal media merupakan barisan hadapan yang menjadi rujukan masyarakat untuk mendapatkan maklumat sahih.

11. Lebih merisaukan dalam era yang serba canggih ini, netizen di luar sana juga ingin menjadi ‘wartawan segera’ hanya berbekalkan kepada telefon pintar masing-masing.

12. Oleh itu, wajar kita ucapkan terima kasih kepada para pengamal media yang bertungkus lumus tanpa mengira masa untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah untuk dikongsi dan diterbitkan kepada umum.

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Seperti yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA sebentar tadi, kita amat beruntung kerana majlis pada pagi ini turut dihadiri oleh delegasi antarabangsa khususnya dari BAN-PT, Indonesia.

14. Selaku badan tunggal yang mengawal selia jaminan kualiti pendidikan tinggi negara, KPT sentiasa menggalakkan MQA untuk mempelopori organisasi jaminan kualiti terutama di Asia Tenggara dan Asia Tengah.

15. Dan hari ini kita bakal menyaksikan pemeteraian MoU antara dua badan jaminan kualiti yang bakal memudah cara elemen pengiktirafan bersama (mutual recognition) sekali gus memberi impak positif kepada para pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan begitu juga pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Indonesia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

16. Melalui Amanat Tahun Baru Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2024, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menggariskan lima (5) fokus utama KPT.

17. Salah satunya ialah Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya yang mana melalui inisiatif ini, KPT menyasarkan untuk memperhebat ekosistem pendigitalan dalam semua proses dan prosedur untuk meningkatkan aksesibiliti dan kebolehcapaian maklumat kepada umum.

18. Hari ini kita bakal menyaksikan peluncuran sistem pendigitalan akreditasi MQA iaitu ‘Electronic MQA Accreditation System’ atau singkatannya ‘e-MAS’.

19. Melalui e-MAS ini, MQA akan menggabung dan mengintegrasikan kesemua modul-modul pengurusan berkaitan jaminan kualiti dan akreditasi untuk mewujudkan satu platform bersepadu yang memberi nilai tambah dan kemudahan kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini.

20. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ingin berterima kasih kepada MQA atas usaha dan apresiasi yang diberikan kepada para pengamal media.

21. Jamuan makan tengah hari ini memberi kita peluang untuk berdialog secara konstruktif, bertukar pendapat, dan mengukuhkan perkongsian antara kementerian dan media.

22. Insya-Allah, bersama-sama, kita boleh saling bergandingan untuk mencapai aspirasi dalam membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan berdaya saing.

23. Akhir kata, saya berharap kita semua dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap dan kukuh demi menjayakan segala perancangan dan pelaksanaan yang telah ditetapkan.

24. Semoga segala usaha murni kita dalam memperhebat kualiti pendidikan tinggi mendapatkan keberkatan-Nya dan mencapai keberhasilan yang gemilang.

25. DENGAN LAFAZ MULIA, BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIIM, SAYA MELANCARKAN: ‘ELECTRONIC MQA ACCREDITATION SYSTEM E-MAS’

Sekian, Wabillahitaufik, Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBTM - Majlis Tautan Kasih Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Bersama Pengamal Media (183 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 336
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.