TEKS UCAPAN
YB DATUK Ts. MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA WARGA UMS
30 Mac 2024
Bismillahirrahmanirrahim.
Terima kasih saudara Pengerusi
Majlis.
(SALUTASI)
Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh, salam hormat dan Salam
Malaysia Madani
PENDAHULUAN
1. Alhamdulillah, marilah bersama- sama kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah S.W.T kerana atas limpah rahmat serta kasih sayang-Nya, kita dapat berhimpun bersama-sama pada hari ini untuk bersama-sama bersungkai di Masjid UMS.
2. Saya mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, Naib Canselor UMS kerana sudi menerima rombongan kami untuk bersungkai di Masjid ini.
3. Seperti yang semua maklum, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah merangka Pelan Tindakan Tinggi Malaysia bagi Tahun 2022-2025. Kerangka tersebut meletakkan asas kukuh dalam membentuk dan memperkemaskan strategi, inisiatif dan program yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) yang mengandungi enam (6) bidang fokus seperti Ketersediaan Graduan Masa Hadapan, Pendidik Bertaraf Global, Perkongsian Global Mampan, Pemacuan Inovasi dan Teknologi, Daya Tahan Institusi, dan Memacu serta Menyemarakkan Kesejahteraan Komuniti
4. Suka saya berkongsi beberapa bidang fokus tersebut yang mana antaranya ialah melibatkan ketersediaan graduan masa hadapan. Bagi memastikan permintaan dan pekerjaan dapat dipenuhi, Ketersediaan graduan masa hadapan adalah sangat penting. Graduan sedia masa hadapan merujuk kepada graduan yang mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang holistik bagi memenuhi permintaan industri. Sehubungan dengan itu, bidang keutamaan ini perlu disokong oleh Lonjakan 1 (Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang), Lonjakan 3 (Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat), Lonjakan 4 (Graduan TVET Berkualiti) dan Lonjakan 10 (Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi).
5. Selain itu, pelbagai program telah dilaksanakan bagi menyemarakkan kesejahteraan masyarakat dengan memupuk jiwa kebajikan dalam kalangan pelajar dan kakitangan IPT. Oleh itu, bidang keutamaan ini perlu disokong oleh Lonjakan 3 (Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat), Lonjakan 4 (Graduan TVET Berkualiti), Lonjakan 7 (Ekosistem Inovasi) dan Lonjakan 9 (Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global).
6. Akhir kalam, sekali lagi saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berbahagia, Profesor Datuk Doktor Kasim Haji Mansor, Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah kerana sudi menerima kunjungan warga Kementerian Pendidikan Tinggi untuk bersungkai di Masjid UMS ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
7. Seperti yang telah disebut oleh Yang berbahagia Profesor Datuk Naib Canselor sebentar tadi, saya berkeyakinan bahawa, program- program seumpama ini dapat dijadikan sebagai medium atau platform untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat khususnya para mahasiswa dan seluruh warga institut pendidikan tinggi awam mahupun swasta.
8. Suka saya berpesan kepada diri saya sendiri dan juga kepada hadirin sekalian, kita sekarang telah berada di 10 malam terakhir Ramadan. Bersama-samalah kita hidupkan malam-malam tersebut dengan perbanyakkan amal ibadah kita. Sepertimana Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Qadar ayat 3 yang bermaksud, “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan”.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh. Terima kasih.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1982