logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ HAJI MUHAMMAD YUSOF APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF KECEMERLANGAN SUKAN ATLET IPT DI SUKAN UNIVERSITI DUNIA (UNIVERSIADE) CHENGDU CHINA DAN
PELANCARAN ROAD TO SURABAYA SUKAN UNIVERSITI ASEAN 2024

14 NOVEMBER 2023


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera
Salam Malaysia Madani
(SALUTASI)

1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurniaNYA dapat kita bersama-sama dalam Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sukan Atlet IPT di Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) Chengdu dan Pelancaran Road To Surabaya Sukan Universiti Asean 2024. Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan amat berbangga dapat bersama-sama dengan atlet-atlet IPT negara pada majlis yang amat bermakna ini. Semuanya nampak ceria dan gembira……Apa khabar semua.

2. Pertama sekali, syukur alhamdulillah kerana selepas berakhirnya era Covid-19, kebanyakan aktiviti khususnya sukan telah boleh dilaksanakan seperti biasa. Tidak dapat dinafikan tahun 2023 juga telah menjadi satu tahun yang sangat padat dengan aktiviti sukan yang berkesinambungan dari tahun 2022.

3. KPT melalui Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik juga telah melaksanakan pelbagai penganjuran sukan dan juga menyertai kejohanan-kejohanan sukan yang dianjurkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

4. Program-program Sukan Utama anjuran KPT seperti Le Tour De IPT, Varsity Track and Field (VTF), Liga Bola Sepak IPT, Liga Futsal IPT, Varsity Sepak Takraw League (VSL) dan Varsity Boat Race (VBR) yang kembali dianjurkan juga mendapat sambutan dan liputan meluas dari pelbagai pihak dan media.

5. Di sepanjang tahun 2023 ini, beberapa kejohanan antarabangsa telah di tempuh oleh atlet IPT yang turut sama membantu kecemerlangan negara di dalam pentas tertinggi. 3 Temasya besar yang memperagakan kecemerlangan Atlet IPT di pentas antarabangsa pada tahun 2023 ini adalah di Sukan SEA Cambodia yang berlangsung pada 5 hingga 17 Mei 2023 apabila atlet IPT terlibat dalam pungutan 20 Emas, 20 Perak dan 44 Gangsa kepada kontinjen negara. Atlet IPT turut cemerlang di Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) Chengdu pada 28 Julai hingga 8 Ogos dengan merangkul 1 Emas 1 Perak dan 5 Gangsa dan yang terkini atlet IPT terus cemerlang di Sukan Asia Hangzou pada 23 September hingga 8 Oktober apabila menyumbang 3 Emas, 5 Perak dan 10 Gangsa kepada kontinjen negara.

6. Syabas dan tahniah di atas semua kejayaan yang telah dicipta ini dan semoga ianya akan menjadi motivasi terbaik untuk anda semua cemerlang di peringkat yang lebih tinggi pula.

7. Pada petang ini terdapat beberapa orang wira-wira kita yang telah mencipta sejarah baru di UNIVERSIADE daripada keseluruhan 18 orang atlet yang telah membutirkan pingat kepada kontinjen negara di Chengdu China bersama-sama kita.

8. Untuk makluman semua, UNVERSIDAE pada kali ini telah manjadi sejarah baru kepada penanda aras prestasi atlet IPT di pentas tertinggi dunia apabila kontinjen
negara telah berjaya memenangi pingat EMAS pertama di temasya ini setelah menanti selama 38 tahun sejak temasya pertama UNIVERSIADE di Kobe, Jepun pada 1985.

Hadirin yang dihormati sekalian,

9. Kejayaan bersejarah ini telah dicipta oleh atlet wushu negara dari Asia Pasific University Of Tecnology & Innovation, saudari Tammy Tan Hui Ling yang turut bersama- sama kita pada petang ini.

Berikan tepukan yang gemuruh kepada saudari Tammy.

10. Kejayaan cemerlang ini telah dituruti oleh atlet-atlet yang lain apabila turut menyumbang 1 Perak dan 5 Gangsa kepada kontinjen Negara. 1 Perak disumbang oleh pasukan terjun dan 5 Gangsa pula melibatkan 3 daripada Wushu dan 2 daripada Badminton. Kejayaan meraih 1 Emas, 1 Perak dan 5 Gangsa merupakan pencapaian terbaik negara di UNIVERSIADE.

11. SYABAS dan TAHNIAH kepada anda semua. ANDA semua membanggakan saya………ANDA semua membanggakan KPT….berikan tepukan yang gemuruh untuk wira dan wirawati kita…..

12. Saya amat berbangga kerana kejayaan pingat Emas pertama ini seumpamanya kita telah berjaya memenangi pingat Emas pertama di Olimpik kerana UNIVERSIADE merupakan sukan Olimpik kepada atlet yang berada di Institusi Pendidikan Tinggi.

13. Selain daripada kecemerlangan Tammy dan penyumbang pingat kepada kontinjen negara, ingin juga saya menyebut beberapa nama yang telah memberikan 1 impak yang besar kepada kecemerlangan atlet IPT di Chengdu, antaranya Umar Osman dan Bryan Leong.

14. Ternyata segala perancangan dan pembangunan sukan di peringkat IPT telah menunjukkan impak yang berkesan. Dasar Pembangunan Sukan Insitusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang seiring dengan Dasar Sukan Negara (DSN) untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta mewujudkan budaya bersukan di IPT telah berjaya mencapai objektifnya. Misi untuk melahirkan ‘The Thinking Athlete’ dengan sasaran 30% atlet negara datangnya dari IPT juga telah dicapai.

15. Tidak lupa juga KPT sentiasa bergerak seiring bersama-sama dengan pemegang-pemegang taruh sukan negara termasuklah Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan. Setiap kejayaan atlet negara itu juga adalah kejayaan bersama semua pihak yang terbabit menerusi peranan masing-masing. Semua ini adalah demi kepentingan dan kebajikan atlet-atlet negara yang kita sayangi.

16. Keberkesanan peranan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) dan Pusat Sukan Tumpuan (PST) juga dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan atlet IPT dan ianya akan terus diperkasakan. Kerajaan dan KPT akan terus memberikan sokongan dan sentiasa prihatin dengan menjaga kebajikan atlet IPT serta sentiasa komited untuk bersama-sama memajukan pembangunan sukan di peringkat IPT khususnya.

17. Biarpun sasaran telah dicapai, saya mengharapkan agar atlet IPT negara terus cemerlang dan ‘outstanding’. Satu kelebihan itu telah ada pada anda semua, namun dapatkan satu lagi kejayaan sewaktu tempoh pengajian, selain pastikan anda semua bergraduan carilah satu lagi elemen ‘outstanding’ dalam bidang akademik atau kemahiran insaniah (KI) lain agar ianya menyumbang kepada kebolehpasaran graduan atau GE yang tinggi. Sudah pasti anda semua akan terus cemerlang dan berjaya dalam kehidupan selepas kerjaya sebagai atlet.

Hadirin yang dihormati sekalian,

18. Untuk makluman semua, atlet IPT negara akan berhadapan dengan 1 lagi misi besar di dalam tahun 2024 apabila dijadualkan bakal bersaing di Sukan Universiti Asean atau AUG 2024 yang bakal berlangsung pada 25 Jun hingga 6 Julai 2024 di Surabaya dan Malang Indonesia.

19. Dengan kejayaan besar di AUG edisi sebelum ini di Ubon Ratchathani Thailand 2022 apabila kontinjen negara muncul sebagai Naib Juara keseluruhan, dan kejayaan gemilang Emas pertama di UNIVERSIADE, besar harapan saya agar momentum kejayaan seperti ini dapat diteruskan di AUG 2024.

20. Untuk mencapai misi tersebut, persiapan rapi kita harus bermula sekarang dan pada hari ini saya turut bebesar hati untuk melancarkan program “Road To Surabaya” demi kejayaan cemerlang kita di temasya tersebut nanti. Program ini bakal menjadi satu agenda penting untuk KPT dan IPT untuk terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan atlet di pentas sukan antarabangsa. Sekali lagi SYABAS dan TAHNIAH kepada atlet IPT yang menerima insentif pada petang ini dan terus berjuang dengan menanam tekad baru ‘Winning Mentality’ atau ‘Minda Juara’ untuk tumpuan ke hadapan selepas ini.

21. Kepada atlet yang bakal terlibat dengan program “Road To Surabaya” saya ingin menyeru agar anda semua dapat mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk mengharumkan nama IPT, Kementerian dan negara. Berikanlah cabaran yang terbaik bagi menunjukkan kesungguhan anda sebagai wakil Malaysia di kejohanan itu nanti serta berbanggalah untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia.

SELAMAT BERJUANG DAN MAJU JAYA KEPADA SEMUA PIHAK YANG TERBABIT.
Wabilllahhitaufik Walhidayah Wasalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBTM KPT Insentif 2023.pdf (229 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2119
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.