logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO' HJ. MOHAMMAD YUSOF BIN APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM NEXUS EXPO 2023 (NEXPO 2023)
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

26 OKTOBER 2023


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum W.B.T dan Salam
Sejahtera,
Salam Malaysia Madani,
(SALUTASI)

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat kita berkumpul di hari yang mulia ini bagi sama-sama menyaksikan serta sekaligus menjayakan Majlis Perasmian Program UTM Nexus Expo 2023 (NEXPO), yang julung-julung kali diadakan dan bertempat di Residensi UTM Kuala Lumpur.
  1. Seperti semua sedia maklum, UTM merupakan universiti berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan tersohor di Malaysia yang sentiasa menyokong dasar dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
  1. Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi telah memperkenalkan Strategi 4P bagi menjayakan Ekonomi MADANI dalam konteks Pendidikan Tinggi iaitu Penyediaan Bakat, Penyelidikan dan Inovasi, Pemindahan dan Perkongsian Ilmu serta Pengantarabangsaan.
  1. Oleh itu, saya berpandangan bahawasanya Program UTM Nexus 2023 (NEXPO) ini dianjurkan bertepatan dengan waktu dan senario terkini negara dan dunia dalam mendepani cabaran semasa, khasnya teknologi disruptif, keterjaminan makanan, dan perubahan iklim dan amat menyokong aspirasi 4P yang telah diperkenalkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi.
  1. Program ini menjadi wahana strategik yang dapat menyatukan pelbagai pemegang taruh, termasuk masyarakat awam, untuk menyaksikan penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan oleh Universiti dengan kerjasama industri, kerajaan dan masyarakat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Seperti yang kita sedia maklum, universiti merupakan menara gading yang bukan sahaja berfokuskan kepada penawaran program akademik, malah menyumbang kepada pembangunan pesat melalui program, projek dan produk penyelidikan yang seharusnya sentiasa relevan dengan kepentingan negara dan global.
  1. Bersangkutan dengan agenda Penyelidikan dan Pembangunan, Gagasan Malaysia MADANI menyentuh dengan jelas Daya Cipta, sebagai salah satu rukun penting dalam mentransformasikan ekonomi negara pada kedudukan 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana.
  1. Gagasan Malaysia MADANI telah diperkukuhkan lagi dengan pelan-pelan transformasi ekonomi, khasnya Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Pada hemat saya, pelan-pelan transformasi ini hanya boleh direalisasikan menerusi pengukuhan ekosistem inovasi penyelidikan yang bersepadu antara universiti, industri, agensi dan sektor kerajaan, serta komuniti.

Hadirin yang Dihormati Sekalian,

  1. Menerusi Pembentangan Belanjawan 2024, Penyelidikan dan Inovasi diperuntukkan agihan dana sebanyak RM 510 juta. KPT amat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di atas pengagihan dana tersebut dan memastikan ianya di gunakan dengan sebaik mungkin.
  1. Dengan wujudnya kolaborasi bersama UTM, saya optimis bahawa lebih banyak penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi dapat menjana dan memberi manfaat kepada pelbagai pihak, seiringan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan juga kerangka ESG – Environmental, Social & Governance.
  1. Umum juga mengetahui kekuatan UTM terletak kepada pembangunan bakat dengan kadar kebolehpasaran (GE) yang tertinggi di Malaysia untuk graduan tahun 2022!. UTM juga aktif dalam melaksanakan program, inovasi dan penyelidikan yang berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan.
  1. Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada UTM yang sedang berusaha menubuhkan pusat pendidikan kecerdasan buatan (AI) pertama negara, iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sepertimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa Pembentangan Belanjawan MADANI 2024 di Dewan Rakyat.
  1. Saya juga difahamkan, kekuatan UTM terletak kepada hubungan industri yang berimpak. Saya amat teruja dan berbangga apabila dimaklumkan bahawa UTM berada pada kedudukan nombor 1 di dunia untuk THE Impact Ranking 2023 bagi SDG ke-7, Tenaga Bersih dan Mampu Dimiliki. Syabas UTM di atas kejayaan yang gemilang ini!
  1. Kejayaan ini merupakan cerminan kepada impak yang terhasil antara kerjasama UTM dengan sektor swasta bagi memperkasakan penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang melalui dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), dalam merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi, khasnya yang boleh dikomersialkan dan menjana kekayaan ekonomi Malaysia.
  1. Justeru itu, dalam memastikan aspirasi ini tercapai, Universiti harus menjalin hubungan strategik dengan pihak-pihak berkepentingan, khasnya industri dan agensi tempatan, serta entiti antarabangsa yang turut menjadi tulang belakang kepada pengembangan dan kepesatan pembangunan ekosistem inovasi negara.
  1. Pada hari ini, kita juga akan meraikan pemain industri yang telah banyak menyokong serta menyumbang kepada kecemerlangan penyelidikan dan inovasi di UTM. Penyampaian anugerah industri iaitu “AIMS4STAR Award” membuktikan kerjasama erat atau kemitraan antara universiti dan industri yang saling bergantung antara satu sama lain, dan menjadi satu indikator kepada kejayaan sesebuah Universiti.
  1. Kerjasama ini amat perlu diteruskan dan diperkukuhkan demi memastikan Universiti dapat mengekalkan tahap kualiti yang cemerlang dan tersohor serta mampu berdaya saing di peringkat global.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Akhir kata, besarlah harapan saya agar UTM NEXPO 2023 ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang, dan menjadi wahana yang dapat mengukuhkan hubungan antara semua pihak; terutamanya para pelabur, industri dan komuniti agar terus meyakini kualiti produk penyelidikan tempatan.
  1. Saya juga amat berharap agar usaha-usaha yang telah dijalankan selama 2 hari ini dapat memberikan impak yang diharapkan dan berupaya mentransformasi kehidupan masyarakat ke arah kehidupan berkualiti, sekaligus mengangkat jenama produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh penyelidik tempatan kepada pemain industri ke peringkat global.
  1. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana program UTM NEXPO 2023 dan juga kepada semua entiti lain yang terlibat, secara langsung atau tidak yang telah bersama-sama memastikan kelancaran dan kejayaan program UTM EXPO atau lebih dikenali sebagai UTM NEXPO 2023.

21. Oleh itu, akhir kata,

DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, SAYA DENGAN INI MENYEMPURNAKAN MAJLIS PERASMIAN PROGRAM NEXUS EXPO 2023.

.وبِالله التوفيقُ والهداية، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته .

Sekian, Terima Kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBTM Nexus EXPO 2023.pdf (268 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2489
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.