logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO' HJ. MOHAMMAD YUSOF BIN APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS JASAMU DIKENANG KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2023

16 NOVEMBER 2023


Terima kasih kepada Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji-pujian hanyalah kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

PENDAHULUAN

  1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kurniaan nikmat kesihatan dan rahmat kelapangan yang telah mengizinkan kita untuk berkumpul dalam majlis pada malam ini bagi meraikan 47 orang warga pesara dan bakal pesara KPT.
  1. Saya turut difahamkan, hadir bersama- sama dengan kita ialah Yang Berbahagia Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar, Mantan Ketua Setiausaha KPT, yang baru sahaja bersara pada 15 Oktober 2023 yang lalu.
  1. Terima kasih saya ucapkan kepada semua kerana sudi memenuhi undangan pihak Kementerian untuk menyantuni majlis ini.
  1. Begitu juga kepada para hadirin yang lain, yang sama-sama datang untuk meraikan serta memeriahkan lagi Majlis Jasamu Dikenang KPT ini.
  1. Sesungguhnya, majlis pada hari ini dianjurkan sebagai apresiasi khas bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga KPT yang telah dan juga bakal bersara pada tahun ini. Sudah tentu, nilai di sebaliknya ialah peluang untuk menitipkan barang sedikit dua kenangan terakhir dan nostalgia terindah bersama KPT.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Gurindam Melayu ada mengkiaskan:

Bagai dakwat pada kertas,
Bagai jahitan pada kain,
Bagai takik pada kayu,
Bagai pamor pada keris,
Bagai tempa pada besi.

  1. Sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh insan-insan yang kita raikan pada malam ini begitu bermakna, bukan sahaja kepada Kementerian, tetapi juga kepada dunia pendidikan tinggi negara, baik secara langsung mahupun tidak langsung.
  1. Walaupun masing-masingnya berada di peringkat pengurusan yang berbeza, serta mempunyai forte yang tersendiri, namun boleh saya katakan di sini bahawa setiap satunya, umpama kejora yang terbit pada malam gelita, yang kerlipannya bersinar indah, menghiasi langit sejarah perkhidmatan awam negara.
  1. Semua pengorbanan, segenap jasa dan seluruh keringat yang dicurahkan oleh anda semua sepanjang perkhidmatan, amatlah kami hargai.
  1. Bahkan, saya difahamkan, ada antara yang kita raikan pada malam ini telah berkhidmat selama lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam! Satu tempoh yang begitu lama bah itu!
  1. Maka, benar bagai dikata:

Tanda orang pilihan itu, Bertanggungjawab segala perbuatan.
Tanda orang yang bijak itu, Bertanggungjawab duduk dan tegak.
Tanda orang terpuji itu, Terhadap tanggungjawab tiada lari.

  1. Komitmen dan kesetiaan seperti inilah yang seharusnya dijadikan teladan oleh semua, lebih-lebih lagi warga KPT sekalian.
  1. Seluruh dewan, ayuh kita berikan tepukan kepada insan-insan hebat ini! 

YBhg. Dato’ Seri, Dr., Tuan-tuan dan Puan puan yang diraikan,

  1. Kejayaan dan kecemerlangan KPT pada hari ini tidak mungkin dicapai tanpa penglibatan dan sumbangan anda semua.
  1. Saya, bukanlah nak kata apa. Tapi sebagai contoh, dua hari yang lepas, KPT telah meraih dua anugerah sempena Majlis Anugerah Pembangunan Negara 2023:

Tempat Pertama untuk Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik bagi peruntukan di atas RM1 bilion; dan

Tempat Ketiga untuk Anugerah Pengurusan IBS Terbaik bagi peruntukan juga di atas RM1 bilion.

  1. Prestasi cemerlang ini sudah tentu berpaksikan kepada komitmen serta usaha tanpa jemu pelbagai pihak dalam memastikan projek-projek pembangunan Kementerian dapat dilaksanakan secara terancang dan teratur – dengan pemantauan yang berterusan melalui platform seperti Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian, selepas itu kita buat pula turun padang meninjau projek-projek sakit.
  1. Inilah yang dikatakan produk atau hasil kepada kerjasama berpasukan yang harus saya katakan begitu excellent!
  1. Dan secara peribadi, saya mahu berikan kredit kepada YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak, Mantan KSU kita, yang bertindak sebagai leader yang tegas dan juga driver yang memacu prestasi cemerlang ini. Macam driver golf bah. Apabila kita pukul bola golf itu dengan driver yang bagus,  dapat  pula  yang memukulnya single handicap, nun jauh bola itu pergi!
  1. Jujur saya katakan bahawa saya dapat merasakan sendiri kesungguhan beliau untuk pastikan projek-projek pembangunan KPT dibuat mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  1. Bukan sahaja di Semenanjung ini, tetapi juga hingga ke Sabah dan Sarawak, beliau turun bersama-sama dengan pasukan, datang menjenguk sendiri, melihat progress projek, terutamanya projek-projek yang dikategorikan sebagai agak kritikal untuk kita pantau.
  1. Terima kasih banyak-banyak Dato’ Seri! Begitu juga, tidak dilupakan Bahagian Pembangunan yang menjadi tulang belakang utama kepada kejayaan ini! Terima kasih banyak- banyak!
  1. Itu satu daripada contoh yang boleh saya berikan.
  1. Tahniah semuanya! Sekalung penghargaan juga kerana menjadi sebahagian daripada jentera yang menggerakkan segala inisiatif yang diterajui oleh Kementerian! So, ladies and gentlemen, again, a big applause for these great people! It’s such a pleasure working as a team – a KPT’s Team – with you all.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. There was a wise man, once said:

“The quality of an individual is reflected in the standards they set for themselves. Serve the best wherever you are and do the best anywhere you go.”

  1. Maksudnya di sini, keperibadian yang kita miliki ini adalah cerminan kepada standard yang kita tetapkan terhadap diri kita sendiri. Kalau kita nakkan yang terbaik, maka yang terbaiklah yang akan kita dapat. Kalau kita buat-buat tidak tahu, jadi apa yang kita dapat nanti kita pun tidak tahu – jadi samar-samar begitu.
  1. Justeru, saya ingin ingatkan semua dan diri saya sendiri juga supaya sentiasa berikan yang terbaik, walau dalam apa jua perkara yang dilakukan, dan di mana jua kita berada.
  1. Ya, benar! Daripada itu nanti orang akan ingat pada kita, umpama harimau yang meninggalkan belang, dan manusia yang meninggalkan namanya.
  1. Namun, perlu juga kita tanamkan dalam diri kita bahawa segala apa yang kita lakukan sepanjang berkhidmat ini bukanlah untuk menempa nama kita, tetapi sebenarnya adalah demi kesejahteraan rakyat dan juga kemakmuran negara.
  1. Dalam pada itu, aturan hidup kita telah pun ditetapkan. Setiap yang bermula, pasti akan berakhir. Dan sebuah pengakhiran itu, lazimnya juga menjadi permulaan kepada cerita baharu dalam kehidupan kita. Begitu juga dengan persaraan yang sebenarnya hanyalah tempoh peralihan ke fasa baharu kehidupan kita seterusnya.
  1. Saya berharap dan juga mendoakan agar tuan-tuan dan puan-puan yang diraikan dapat meniti kebahagiaan dalam episod baharu kehidupan kalian.
  1. Selepas ini, bolehlah berikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga tercinta, atau penuhkan masa lapang yang ada dengan hobi – bersukan, berkebun, melancong atau mungkin juga berniaga!
  1. Mana tahu, selepas bersara boleh jadi ahli perniagaan yang berjaya? Kalau macam Dato’ Sri Razak sendiri, diam- diam, mungkin ada bah itu minat dengan politik. Apa lagi? Bolehlah sumbangkan kemahiran dalam bidang politik pula. Barulah betul-betul boleh jadi YB – Yang Berhormat, bukan Yang Bersara. Saya doakan semuanya!
  1. Oh, ya! Lagi satu sebelum saya Dalam Belanjawan 2024 yang lalu, pihak Kerajaan telah pun mengumumkan berkenaan dengan bayaran insentif RM1,000 yang dipanjangkan kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin kepada para pesara juga.
  1. Justeru, mewakili pihak Kerajaan, saya berharap, sedikit-sebanyak ini akan membantu para persara kita juga. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa. Manfaatkanlah sebaik mungkin dengan penuh hemat.

Hadirin sekalian,

  1. Saya rasa, lama sudah saya berucap.
  1. Jadinya, sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi, mewakili seluruh warga KPT, saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada warga KPT yang diraikan pada hari Mudah- mudahan kenangan berkhidmat di KPT kekal menjadi memori terindah kalian.
  1. Syabas juga kepada pihak urus setia yang telah bertungkus-lumus menyusun perjalanan majlis ini dengan baik dan jayanya.
  1. Benar, perpisahan itu amat menyakitkan. Namun kehidupan perlu diteruskan.
  1. Kami, seluruh warga KPT mendoakan agar semuanya sentiasa dalam lindungan dan keberkatan Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang baik, dilanjutkan usia dan dipermudahkan segala urusan dunia dan Aamin Ya Rabbal Alamin.
  1. Selamat bersara dan selamat maju jaya!

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBTM Sempena Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2023.pdf (252 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3176
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.