logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ HAJI MOHAMMAD YUSOF APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN SEMULA KUALA LUMPUR METROPOLITAN COLLEGE UNIVERSITY (KLMUC)

23 OGOS 2023


  1. Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, kita dibekalkan dengan kesihatan untuk sama-sama berkumpul di Majlis Pelancaran Semula Kuala Lumpur Metropolitan University College.

KUALA LUMPUR METROPOLITAN COLLEGE UNIVERSITY

  1. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Kuala Lumpur Metropolitan University College kerana menjemput saya merasmikan Majlis Pelancaran Semula KLMUC.
  1. Saya dimaklumkan majlis pelancaran semula ini bukan sahaja ingin meraikan kampus baharu tetapi juga untuk meraikan penjenamaan semula KLMUC.
  1. KLMUC dan Cosmopoint College bukanlah nama asing di dalam industri IPT tanah air. Lebih 30 tahun mereka bertapak dan pernah merupakan antara IPT yang paling disebut-sebut seluruh negara. Jadi pihak KPT amat teruja melihat jenama KLMUC dihidupkan semula dan diberi nafas baharu.
  1. Penjenamaan semula ini bukan sahaja penting untuk meningkatkan profesionalime, malah ianya perlu bagi sesebuah institusi pendidikan tinggi untuk terus kekal relevan & berdaya saing, seterusnya mengukuhkan lagi hubungannya dengan pelajar & masyarakat setempat sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
  1. Perubahan beginilah yang akan memupuk budaya inovasi, kreativiti dan kepimpinan dalam kalangan anak muda.
  1. Saya merasakan kampus baharu KLMUC sungguh strategik dari segi lokasinya yang terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur kerana memudahkan anak muda untuk mengakses institusi ini dan juga menjadi daya tarikan kepada anak muda di luar bandar untuk berhijrah bagi menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

  1. Hadirin yang saya hormati,
  1. Pada hari ini, saya ingin berkongsi beberapa inisiatif yang sedang kita laksanakan di Kementerian.
  1. Pertama, Kementerian Pendidikan Tinggi akan memperkenalkan sistem pengajian hibrid & anjal.
  1. Sistem pengajian hibrid & anjal ini bermakna, para pelajar akan menghadiri kuliah di universiti hanya pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.
  2. Pada tahun-tahun di pertengahannya, pelajar akan diberi pilihan dan fleksibiliti untuk mengikuti pengajian dari rumah secara atas talian, tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas.
  1. Saya juga diberitahu KLMUC juga menawarkan program fleksibel seperti ini dimana mahasiswa diberikan peluang untuk memasuki kelas selama 3 hari seminggu sahaja dan bekerja secara separuh masa pada 4 hari selebihnya.
  1. Syabas KLMUC!
  1. Kedua, saya ingin memperkenalkan inisiatif khas KPT yang dikenali sebagai Program Pembangunan Siswa Sulung atau ringkasnya SULUNG yang telah dimulakan pada tahun lalu.
  1. Berdasarkan pemerhatian Kementerian, terdapatnya anak-anak daripada golongan B40 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM & STPM tetapi tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atas masalah kewangan.
  1. Program SULUNG ini mensasarkan wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT, dimana mereka akan menerima bantuan dan sokongan yang selayaknya.
  1. Bagi tahun 2023 ini, seramai 10 ribu mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 akan dikecualikan sepenuhnya yuran pengajian di semua 20 universiti awam.
  1. Semoga dengan inisiatif ini, wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT akan dapat mengikuti pengajian tinggi dengan selesa, tenang dan berprestasi tinggi.
  1. Saya juga difahamkan pihak KLMUC menyahut baik inisiatif SULUNG ini dan akan menyediakan 5 tempat untuk anak pertama keluar B40 dari lembah klang yang ingin sambung belajar dengan 100% pembiayaan pengajian percuma.

HARAPAN

  1. Hadirin yang saya hormati,
  1. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mewujudkan institusi pendidikan tinggi yang terunggul, inovatif & relevan bukan sahaja di negara kita, malah mampu bersaing dengan institusi-institusi pendidikan tinggi yang hebat di luar sana.
  1. Saya berharap pelancaran semula KLMUC ini akan membantu hasrat Kementerian dalam menyuntik minat seramai mungkin penuntut & anak muda di negara ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, dan bukan hanya belajar setakat sekolah menengah.
  1. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada pihak penganjur pada hari ini.
  1. Selamat maju jaya.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Majlis Pelancaran Semula Kuala Lumpur Metropolitan University College.
  1. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBTM Sempena Majlis Pelancaran Semula Kuala Lumpur Metropolitan College University.pdf (166 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2764
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.