logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS ANUGERAH SUKAN MAJLIS SUKAN UNIVERSITI MALAYSIA (MASUM) DAN PENYERAHAN JALUR GEMILANG KONTINJEN IPT MALAYSIA KE SUKAN UNIVERSITI DUNIA (UNIVERSIADE) 2023

20 JULAI 2023


  1. Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita semua memperbanyak lafaz syukur ke hadrat Allah
  1. Sesungguhnya, hanya dengan limpahan rahmat dan kurnia-Nya kita semua dapat bersama-sama pada malam ini bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen IPT Malaysia ke Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2023.
  1. Selamat datang kepada semua saya ucapkan.
  1. Sebelum saya teruskan, saya kira belum terlambat untuk saya turut mengambil kesempatan ini mengucapkan Salam Maal Hijrah 1445 H kepada semua. Semoga tahun ini akan lebih baik dan membawa lebih banyak kejayaan kepada kita semua, insya-Allah.

Hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Saya sangat berbesar hati dan gembira berpeluang bertemu dengan para atlet dan penggiat sukan di IPT kita pada malam ini.
  1. Majlis pada malam ini jelas menunjukkan yang penglibatan cemerlang atlet IPT dalam arena sukan, bukan sahaja menyumbang nama baik kepada negara.
  1. Tetapi secara asasnya, menggambarkan betapa sektor pendidikan tinggi negara kita adalah komprehensif dan sentiasa menyokong potensi Biar apa pun bidang yang mereka minati.
  1. Ia menunjukkan dengan sangat Bahawa selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyarakat, hubungan yang erat dengan industri, sektor pendidikan tinggi negara turut memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat dalam arena sukan. Baik di peringkat universiti, di peringkat kebangsaan mahupun di pentas dunia.
  1. Malah, pencapaian di peringkat rantau ASEAN baru-baru ini juga cukup membanggakan.
  1. Atlet-atlet IPT kita mempamerkan prestasi cemerlang dengan menyumbang sebanyak 85 daripada 175 pingat yang diperolehi kontinjen negara.
  1. Jumlah ini bersamaan 48.57% atau hampir separuh daripada pungutan pingat negara di Sukan SEA yang lalu adalah disumbangkan oleh atlet-atlet IPT.
  1. Jadi, syabas dan tahniah saya ucapkan. Sudah pastilah pencapaian tersebut amat memberangsangkan.
  1. Ia membuktikan kita berada di landasan yang betul dalam membantu ekosistem kecemerlangan sukan negara.
  1. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh mudah berpuas hati.
  1. Sektor pendidikan tinggi negara mesti terus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara kita dengan lebih bermakna.
  1. Dalam hal ini, sektor pendidikan tinggi mesti melihat ekosistem pembangunan dan industri sukan secara keseluruhan.
  1. Bukan sekadar mengesan, melatih dan menghantar atlet ke pertandingan.
  1. Sebaliknya, banyak lagi aspek dan dimensi pembangunan sukan yang boleh disertai serta dibangunkan oleh sektor pendidikan tinggi negara.
  1. Ini termasuklah menggunakan secara optimum dan strategik segala ilmu, penyelidikan, kepintaran saintis dan pakar sedia ada serta teknologi terkini yang dipunyai oleh sektor pendidikan tinggi.
  1. Penciptaan pakaian atau peralatan sukan yang berteknologi tinggi, penghasilan menu atau rejim pemakanan dengan nutrisi terbaik, strategi permainan, analisis prestasi menggunakan big data dan analitik. 
  1. Kesemua ini adalah antara contoh dan perkara yang perlu turut menjadi fokus sektor pendidikan tinggi dalam menyumbang dan membangunkan sukan negara.
  1. Maka, peranan yang dimainkan oleh Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT bersama-sama dengan Majlis-majlis Sukan IPT harus disusun dengan sistematik dan berkesan.
  1. Kita mesti sedar, selain kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental, pembangunan sektor sukan sangat turut berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi.
  1. Jadi, rancangan dan penganjuran acara-acara Sukan Utama KPT dan penyertaan pasukan IPT dalam liga-liga kebangsaan harus disemak dan dirancang dengan kemas dan
  1. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) baru-baru ini untuk memperkasakan sukan Olahraga dan Renang perlu diambil kira dengan
  1. Ini bagi memastikan KPT sentiasa bersama dengan semua pemegang taruh dan penggerak sukan negara dalam usaha-usaha pembangunan sukan di

Tuan-tuan, Puan-puan dan Atlet IPT yang saya kasihi sekalian,

  1. Sebagai salah satu daripada 4 Majlis Sukan yang bernaung di bawah KPT, Majlis Sukan Universiti Malaysia atau MASUM telah kita berikan mandat yang sangat besar untuk membangunkan sukan di peringkat IPT.
  1. Antaranya dengan melaksanakan program-program pembangunan sukan khususnya untuk Institusi-institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
  1. Jadi, tidak pelik jika saban tahun, MASUM sentiasa menjadi antara penyumbang utama kepada atlet-atlet IPT yang akan mewakili negara ke pentas-pentas tertinggi dunia.
  1. Nama-nama seperti, Mohd Aniq Kasdan dalam acara Angkat Berat dari UiTM, Sureeya Shankar A/L Hari Shankar dalam acara Karate dari UPNM, Nurul Hidayah Abdul Karim dalam acara Taekwondo Poomsae dari UM, Tan Cheong Min dalam acara Wushu dari UPM dan Norsyakirah Muksin atlet Pencak Silat dari UPSI, merupakan atlet-atlet IPTA yang cemerlang di pentas sukan tertinggi dunia pada tahun 2022 dan 2023.
  1. Justeru, bagi menghargai segala dedikasi, semangat juang dan disiplin atlet IPT kita yang telah merekodkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2022, KPT dan MASUM pada malam ini akan menyampaikan beberapa anugerah kepada mereka.
  1. Kita harap Anugerah Sukan MASUM atau ASM 2022 ini akan memberi satu lonjakan motivasi kepada atlet yang terlibat bagi mengharungi temasya-temasya sukan besar yang masih berbaki bagi tahun 2023 ini.
  1. Ini termasuklah Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE 2023), dan Sukan Asia 2022 yang kedua-duanya akan berlangsung di China.

Tuan-tuan, puan-puan serta para atlet IPT yang diraikan,

  1. Selain meraikan pencapaian cemerlang atlet IPT bagi tahun 2022, malam ini kita semua turut berpeluang bersama-sama dengan kontinjen negara yang akan menyertai UNIVERSIADE 2023 yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 8 Ogos 2023 di Chengdu, China nanti.
  1. Dari segi prestij dan kedudukannya, UNIVERSIADE ini boleh dianggap Sukan Olimpik bagi atlet yang berada di IPT.
  1. Temasya sukan yang akan disertai lebih daripada 100 kontinjen seluruh dunia ini menjadi pentas yang sangat kompetitif dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet IPT.
  1. Jadi, saya harap penyertaan atlet IPT kit dalam temasya ini akan digunakan sebaiknya.
  1. Bukan sahaja untuk mengukur kedudukan atlet IPT berbanding negara lain kita, malah sebagai medan menguji prestasi dan tahap persediaan bagi sesetengah atlet yang akan turut bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
  1. Justeru, kepada semua 96 atlet kontinjen Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam 8 daripada 18 acara sukan yang dipertandingkan pada tahun ini, kami di KPT, malah seluruh rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuk kalian.
  1. Semoga kita dapat mempamerkan prestasi cemerlang dan mengatasi rekod dan pencapaian sebelum ini.
  1. Tunjukkanlah daya juang, semangat kesukanan serta nilai patriotisme yang akan membanggakan kita semua.
  1. Pastikan penyertaan dalam temasya ini memberi nilai tambah, pengamalan serta ilmu yang berguna kepada anda semua.
  1. Akhir kata, sekali lagi, sekalung penghargaan saya zahirkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan lakaran kejayaan atlet IPT kita.
  1. Kepada para atlet sekalian, syabas, tahniah dan selamat maju jaya saya ucapkan!
  1. Teruskan berjuang dengan semangat ‘Minda Juara’. Insya-Allah, pencapaian yang lebih gemilang akan dapat dikecapi.
  1. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Dan Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen IPT Malaysia Ke Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2023 (129 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6113
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 11:06:20.