logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN PELAN TINDAKAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DI INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI AWAM (IPTA) 2023-2030

15 JUN 2023 (KHAMIS)


Assalamualaikum WRT. WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani,

  1. Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita diberikan kesempatan menjayakan Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023 – 2030 pada hari ini.
  1. Saya sangat menghargai jemputan Ini kerana, 12 tahun yang lalu, saya sebenarnya telah melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011 – 2015.
  1. Pelan tersebut kita bangunkan susulan satu Kajian Penggunaan Bahasa di IPTA yang dijalankan pada tahun 2010.
  1. Kajian tersebut mendapati nisbah penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam program-program pengajian IPTA berada pada tahap yang berbeza-beza merentasi pelbagai disiplin program.
  1. Dapatan tersebut meyakinkan Kementerian bahawa satu intervensi mesti dilakukan.
  1. Kita tidak mahu kedudukan bahasa Melayu merosot dan dilihat tidak penting dalam ekosistem pendidikan tinggi.
  1. Dan alhamdulillah, sebagai kesinambungan daripada segala usaha tersebut, hari ini kita akan lancarkan pula pelan ketiga yang membawa beberapa penegasan baharu, yang kita harap dapat terus memartabatkan kedudukan bahasa Melayu.
  1. Jadi, saya sangat berterima kasih kepada semua pihak, kerana terus mengambil penting kedudukan dan potensi Bahasa Melayu dalam sektor pendidikan tinggi.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Secara peribadi, saya sangat percaya, potensi dan kedudukan bahasa Melayu mesti terus diangkat dalam segenap lapangan.
  1. Namun, potensi ini tidak akan menzahirkan apa-apa hasil yang baik, sekiranya tidak digilap dan diketengahkan secara tersusun dan strategik.
  1. Sebab itulah kita harus mempunyai pelan dan perancangan yang jelas. Bukan sekadar semangat dan kemahuan yang berkobar-kobar.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Kita memilih untuk menjadikan IPTA sebagai salah satu daripada pentas penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu atas beberapa sebab.
  2. Pertama sekali dan sebab paling utama antara semua, adalah kerana IPTA harus bersama-sama menggalas misi nasional.
  1. Jadi, selain menjadi medan menyampaikan ilmu terbaik, merancak penyelidikan yang berguna kepada masyarakat dan menyediakan ruang untuk mahasiswa mendewasa dan matang, institusi pendidikan tinggi mesti turut serius dalam menggalas tugas untuk bersama-sama menjayakan agenda nasional.
  1. IPT tidak boleh melihat dirinya terpisah daripada agenda nasional.
  1. Benar, IPT boleh memilih cara dan pendekatan berbeza untuk melakukan sesuatu perkara. Tetapi ia tidak pernah terlepas dari tanggungjawab
  1. Dan pada saya, mengangkat martabat dan kedudukan bahasa kebangsaan adalah salah satu daripada misi dan agenda nasional yang mesti disokong oleh semua IPT.
  2. Kedua, tindakan golongan bijak pandai adalah suri teladan terbaik kepada masyarakat.
  1. Jika bijak pandai yang berada di universiti dan sektor pendidikan tinggi sendiri tidak memartabatkan bahasa Melayu, maka sudah pastilah sukar untuk kita mengharapkan segmen lain dalam masyarakat untuk melakukannya.
  1. Kalian yang berada di universiti mesti menunjukkan dengan jelas, dan tegas, kepentingan Bahasa Melayu dan potensinya sebagai bahasa ilmu. Barulah ia akan menjadi ikutan pihak lain.
  2. Ketiga, di universitilah potensi dan kekuatan Bahasa Melayu dapat dibangunkan. 
  1. Bulan lepas, saya di Universiti Malaya, menyampaikan Syarahan Za’ba berkaitan masa depan Pengajian Melayu.
  1. Dalam syarahan tersebut, saya berhujah bahawa untuk menjadikan bidang Pengajian Melayu sebagai disiplin strategik dan paling penting untuk negara, cakupan pengajiannya harus merentas disiplin.
  1. Dan ia mesti menyentuh pelbagai ruang litup kepentingan orang Melayu. Cendekiawan dengan aneka latar belakang mesti diyakinkan untuk bersama-sama membawa nilai tambah dalam pengajian Melayu.
  1. Walau pun hari ini ikhtiar kita di Taman Ilmu dan Budi ini adalah berkaitan Bahasa Melayu secara spesifik, saya percaya pengamatan saya dalam Syarahan Za’ba tersebut turut terpakai.
  1. Penggunaan Bahasa Melayu harus merentas disiplin ilmu.
  1. Ia bukan sekadar medium penghantar untuk pembelajaran berkaitan bahasa atau budaya orang Melayu sahaja. Ia bukan tentang pertuturan seharian semata-mata. Dan sudah pastilah ia tidak seharusnya terhad dalam urusan rasmi Kerajaan.
  1. Sebaliknya, Bahasa Melayu mesti hadir dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.
  1. Dan untuk semua itu berlaku, Bahasa Melayu sendiri harus mempunyai keanjalan dalam menyampaikan ilmu.
  1. Bahasa Melayu mesti mempunyai perbendaharaan kata dan sistem yang meraikan pelbagai tradisi dan epistemologi. Baik dalam lingkungan akademik, mahu pun dalam persekitaran yang tidak formal.
  1. Hanya dengan yang demikian, Bahasa Melayu akan mempunyai kekuatan yang memungkinkannya menjadi bahasa ilmu.
  1. Dan semua itu harus dan boleh bermula dengan radikal dan strategik dalam kalangan bijak pandai di universiti-universiti.

Hadirin dan hadirat,

  1. Secara asasnya, Pelan Tindakan ini mensasarkan empat objektif utama.
  1. Pertama, membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kedua, menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu. Ketiga, merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara. Dan keempat, memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing.
  1. Objektif-objektif ini akan diusahakan melalui empat teras.
  1. Pertama, pembudayaan bahasa Melayu dalam pengajaran, pembelajaran dan aktiviti kokurikulum. Kedua, pemerkayaan bahasa dan persuratan Melayu di IPTA dan antarabangsa.
  1. Ketiga, pengukuhan bahasa Melayu di IPTA sebagai wadah pembangunan negara dan yang terakhir, pemerkasaan IPTA dalam pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
  1. Berasaskan 4 teras utama yang dikenal pasti tersebut, Kementerian telah menyenaraikan 11 strategi dan 26 inisiatif pelaksanaan bagi IPTA menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan ini.
  1. Antaranya, memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran.
  1. Ini bermakna, dengan pelancaran Pelan Tindakan ini, kementerian dengan ini menyarankan agar pengajaran subjek-subjek wajib IPTA dilakukan dalam Bahasa Melayu. Ini adalah satu ruang penting yang menuntut penggunaan bahasa Melayu secara tersusun.
  1. Selain itu, adalah dicadangkan agar lulus subjek bahasa Melayu peringkat komunikasi asas menjadi syarat graduasi bagi pelajar prasiswazah antarabangsa.
  1. Melalui pendekatan seperti ini, kita bukan sahaja mempamerkan keseriusan dalam mengangkat penggunaan bahasa Melayu yang baik. Malah, kita akan mengembangkan kelompok penuturnya di samping berpeluang menunjukkan keindahan Bahasa Melayu kepada orang luar.
  1. Dalam memastikan pelaksanaan saranan ini bersifat praktikal, saya menyarankan agar semua IPTA memikir dan melihat secara serius kaedah atau pendekatan yang terbaik serta bersesuaian dengan institusi masing-masing.
  1. Seperti kata patah Melayu, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.
  1. Pada masa yang sama, saya harap pelan ini akan menjadi rujukan penting dalam memperluas penawaran kursus bahasa Melayu untuk kakitangan akademik dan bukan akademik, meningkatkan bahan bacaan, koleksi dan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu.
  1. Malah, saya harap IPT-IPT kita akan menyusun strategi terbaik untuk melibatkan mereka di luar kelompok akademik.
  1. Usaha memperjuangkan Bahasa Kebangsaan tidak harus hanya dipikul oleh ahli akademik dan pencinta bahasa sahaja.
  1. Ia memerlukan sokongan semua pihak. Bahasa Melayu perlu dipandang sebagai khazanah negara yang bernilai tinggi.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Saya yakin, apabila kita melancarkan pelan memartabatkan bahasa Melayu ini sebagai bahasa ilmu di IPTA, soalan yang akan kita terima sudah pastilah, bagaimana pula dengan IPTS?
  1. Walau pun saya akui, fokus dan operasi IPTS yang tidak bergantung kepada dana Kerajaan memberikan mereka sedikit kebebasan dan kelonggaran dalam menentukan bahasa penghantar yang digunakan.
  1. Namun, IPTS sebenarnya tidak pernah terlepas daripada turut menyambut dan menyokong agenda Apatah lagi di bawah pentadbiran saya, KPT tidak membeza-bezakan IPTA dan IPTS.
  1. Atas dasar itu, suka saya tegaskan di sini bahawa inisiatif-inisiatif memartabatkan dan mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan turut dipanjangkan ke Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) secara berperingkat-peringkat.
  1. Kita akan mulakan dengan beberapa langkah awal. Antaranya, membuka pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu agar turut melibatkan ahli-ahli akademik dari IPTS bermula tahun 2024.
  1. Bagi jangka panjang pula, Kementerian turut merancang untuk membangunkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di IPTS.
  1. Ini bagi memastikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di sektor pendidikan tinggi akan bersifat menyeluruh, praktikal dan strategik.
  1. Sekiranya UIAM yang merupakan sebuah institusi antarabangsa yang beroperasi menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, boleh mempamerkan komitmen dan usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu, saya tidak lihat wujud alasan di pihak IPT-IPT lain untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Hadirin dan hadirat,

  1. Sebelum berakhir, saya ingin menyeru semua pihak untuk bersama-sama memastikan pelaksanaan pelan ini secara serius dan bersungguh-
  1. Lebih penting, pelan yang kita lancarkan hari ini hanyalah sebahagian sahaja dari usaha kita dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
  1. Kita tidak boleh berpuas hati atau berhenti di sini. Semua pihak harus bersama-sama berusaha untuk terus mencari idea dan pendekatan terbaik, agar Bahasa Melayu dapat kita angkat ke kedudukan yang
  1. Akhir kata, tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur serta semua pihak yang telah berusaha menjayakan majlis ini, khususnya Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta semua penyelidik dari UIAM, UKM dan UPSI yang telah membangunkan pelan ini.
  1. Dengan lafaz Bismilahirrahmannirrahim, saya dengan ini melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023 – 2030.
  1. Sekian, wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatulhi

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030.pdf (189 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9294
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 03 Mei 2024, 17:19:48.