logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN “INSTITUTE OF PLANETARY SURVIVAL FOR SUSTAINABLE WELL-BEING (PLANETIIUM)”,
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

4 JULAI 2023


Assalamualaikum dan Salam Malaysia Madani, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan dan ruang untuk kita semua berkumpul di sini.
  1. Saya ingin merakamkan penghargaan atas jemputan dan penghormatan yang diberikan oleh pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk saya merasmikan Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being atau PLANETIIUM pada hari ini.
  1. Bagi saya secara peribadi dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi secara umumnya, acara bersejarah pada hari ini sangat penting.
  1. Pertama, ini merupakan satu lagi manifestasi bahawa universiti bukan sahaja harus peka dengan keadaan sekeliling. Tetapi menyumbang secara bermakna ke arah kesejahteraannya.
  1. Saya sudah sering menegaskan sebelum ini, bahawa sektor pendidikan tinggi mesti menjadi sektor yang paling aktif dan proaktif dalam menyumbang kepada masyarakat.
  1. Sebagai sektor yang meneroka dan menghimpun segala ilmu dan inovasi terbaik, institusi pendidikan tinggi menggalas tanggungjawab moral untuk memastikan masyarakat menerima manfaat sebaiknya dari kita semua.
  1. Dan saya percaya, PLANETIIUM ini akan menjadi satu lagi pusat penyelidikan yang akan memfokuskan kepada ikhtiar memberi kebaikan kepada masyarakat.
  1. Kedua, penubuhan PLANETIIUM ini adalah satu inisiatif yang selari dengan hala tuju serta penegasan Kementerian Pendidikan Tinggi yang mahu universiti- universiti kita memfokuskan kepada peningkatan kecemerlangan.
  1. Saya percaya, sebagai sebuah institusi penyelidikan dengan fokus dan manfaat yang tersendiri, PLANETIIUM ini akan memberikan yang terbaik dalam memastikan banyak ilmu dan inovasi baharu yang bermanfaat dapat dihasilkan.
  1. Berdasarkan kepentingan-kepentingan inilah, saya memutuskan untuk bersama-sama menyaksikan sendiri satu lakaran sejarah yang akan memberi nilai tambah tersendiri kepada sektor pendidikan tinggi kita.

Hadirin yang saya hormati,

  1. Saya difahamkan PLANETIIUM ini akan menjadi institut pertama di institusi pengajian tinggi awam negara yang berteraskan Kesihatan Planet secara komprehensif.
  1. Bukan itu sahaja, dalam menggerakkan penyelidikan serta sumbangannya, PLANETIIUM akan memberi fokus serta penekanan kepada beberapa perkara penting.
  1. Pertama, ia akan memacu penyelidikan dan inovasi dalam agenda kelestarian dan kesejahteraan.
  1. Fokus penyelidikan institut ini akan menyentuh, antara lain, impak serta cabaran ke atas kehidupan masyarakat susulan perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti, kemerosotan sumber semula jadi dan pemusnahan habitat.
  1. Dan salah satu projek utama di PLANETIIUM adalah Frozen Zoo lab, iaitu makmal yang akan dikenali sebagai bank kriogenik atau fasiliti penyimpanan beku.
  1. Ia adalah satu inisiatif kritikal dan inovatif bertujuan menyimpan bahan genetik spesies haiwan yang terancam.
  1. Malah, makmal ini akan menjalankan aktiviti seperti, pengumpulan, penyimpanan, dan pemeliharaan jangka panjang sel, tisu, dan bahan pembiakan dari pelbagai spesies haiwan.
  1. Dan yang menariknya, Frozen Zoo lab di PLANETIIUM ini akan menjadi makmal yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.
  1. Kedua, dalam menjayakan agenda kelestarian dan kesejahteraan, PLANETIIUM tidak akan hanya memfokuskan kepada alam sekitar.
  1. Sebaliknya, akan turut memberi perhatian yang seimbang kepada pelbagai dimensi penting lain dalam kehidupan masyarakat.
  1. Ini termasuklah aspek daya saing dan penyertaan masyarakat sekeliling dalam aktiviti ekonomi yang diharap berupaya memberi mobiliti sosial kepada mereka.
  1. Ketiga, institut ini akan menjadikan sains sebagai asas dan garis panduan kepada segenap agenda kesejahteraan kehidupan yang hendak dibawakan kepada masyarakat sekeliling.
  1. Dan ini termasuklah menggunakan data-data empirikal sebagai rujukan utama dalam merencana agenda kesejahteraan kepada masyarakat.
  1. Keempat, PLANETIIUM akan memastikan intervensi dan sumbangan yang diberikan kepada masyarakat sekeliling adalah bersesuaian dengan keperluan komuniti setempat.
  1. Bukannya menggunakan pendekatan pukul rata atau one size fits all.
  1. Dan kelima, penubuhan PLANETIIUM dan fungsinya sangat berkait rapat dengan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan. 
  1. Ini kerana, kedua-dua inisiatif ini berkongsi objektif yang sama, iaitu mengintegrasikan kelestarian, kesejahteraan, dan kesihatan planet ke dalam landskap pembangunan
  1. Justeru, sebagai sumbangan kepada negara daripada sudut dasar dan input, PLANETIIUM akan memainkan peranan penting dalam membantu negara untuk bersama-sama merealisasikan matlamat yang tercatat dalam Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan Malaysia.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Kelima-lima fokus dan pendekatan yang akan dibawa oleh PLANETIIUM ini sangat penting.
  1. Ia menyedarkan kita bahawa konteks kelestarian dan kesejahteraan hidup mesti difahami dalam spektrum yang luas, yang merentasi isu alam sekitar.
  1. Ini bukan sahaja sangat bertepatan dengan pegangan UIAM sendiri yang mengangkat konsep rahmatan lil ‘alamin iaitu rahmat atau kebaikan kepada seluruh alam.
  1. Malah, ia selari dengan apa yang hendak dicapai oleh Kerajaan Perpaduan melalui agenda Malaysia Madani. Yakni, mewujudkan kesejahteraan melalui keseimbangan.
  1. Keseimbangan antara usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan intervensi yang memberi daya saing ekonomi serta membantu survival masyarakat.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Walau pun pada hakikatnya ramai yang tahu dan sedar, betapa kesihatan ekosistem, kestabilan corak iklim dan kepelbagaian biologi adalah elemen kritikal yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan hidup manusia. Namun, ramai yang gagal bertindak secara strategik dan komprehensif.
  1. Sedangkan, paradigma dan hubung kait antara kesihatan alam sekitar dengan kesejahteraan sosial dan kehidupan manusia bukanlah satu misteri.
  1. Lihat sahaja bagaimana Allah SWT menegaskan di dalam ayat 41 Surah Ar-Rum betapa jelas kerosakan di darat dan di laut itu adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia.
  1. Atas dasar itu, adalah menjadi harapan dan keyakinan kita, khususnya di pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, bahawa PLANETIIUM ini akan memberikan yang terbaik dalam membawa dimensi dan sumbangan baharu.
  1. Khususnya dalam memastikan isu kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan hidup dikaji dan diuruskan secara saintifik dan strategik selepas ini.
  1. Untuk itu, saya ingin menegaskan di sini. Bahawa PLANETIIUM mesti segera mengambil tindakan secara agresif untuk menjalin hubungan dengan pelbagai pihak dan institusi.
  1. Sekarang adalah era collaboration and network. Melalui kerjasama yang strategik, bukan sahaja kepakaran dan ilmu dapat dikongsi. Malah, sumber yang terhad akan mampu membuahkan hasil yang optimum.
  1. Apatah lagi agenda kesejahteraan dan kelestarian yang dibawa ini adalah isu yang sangat besar. Jadi, pendekatan yang diambil mesti bersifat kolaboratif dengan melibatkan pelbagai pihak sektor.
  1. Zaman institut penyelidikan bergerak solo dan bekerja in silo sudah
  1. PLANETIIUM mesti memfokuskan secara serius kepada outcomes yang benar-benar terlihat kepada masyarakat. Tidak boleh terkurung dengan teori dan kepuasan akademik semata-mata.
  1. Saya harap harapan besar Kementerian ke atas PLANETIIUM ini akan diberikan perhatian yang sewajarnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penubuhan PLANETIIUM. Sesungguhnya ini adalah satu komitmen besar terhadap masa depan yang lebih baik.
  1. Sama-samalah kita mendoakan agar usaha yang baik ini dipermudah Allah SWT dan akan berjaya mencapai matlamat yang kita sasarkan, insya-Allah.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being (PLANETIIUM)

Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Majlis Pelancaran “Institute Of Planetary Survival For Sustainable Well-Being (PLANETIIUM)”, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.pdf (62 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4976
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 03 Mei 2024, 17:19:48.