logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

PROGRAM KLINIK PERTANIAN PUTRA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)
ZON SELATAN

9 SEPTEMBER 2023


  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi, dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu pagi ini dalam Program KLINIK PERTANIAN PUTRA ZON SELATAN DI DAERAH KOTA TINGGI, JOHOR.
  1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) serta agensi-agensi terlibat atas inisiatif menganjurkan program ini.
  1. Terima kasih kerana sudi ke Kota Tinggi. Dan terima kasih kerana memilih Kota Tinggi sebagai lapangan untuk memberikan khidmat bakti dan melakukan perkongsian ilmu.
  1. Saya difahamkan, UPM telah berada di sini sejak 5 September yang lalu. Dan sepanjang tempoh tersebut, pelbagai siri perkongsian ilmu berkaitan penternakan ayam kampung kacukan, asas hidroponik, kokedama dan robotik telah diadakan di Kampung Singapura dan Sekolah Kebangsaan Sedili Besar.
  1. Malah, program selama 2 hari ini juga menyaksikan pelbagai topik pemindahan ilmu seperti pengeluaran halia bentong, perkongsian polar saintis UPM ke Antartika, kawalan pemakanan untuk pencegahan penyakit tiga serangkai dan bimbingan kecemerlangan untuk pelajar sekolah.
  1. Saya percaya semua itu sangat Sudah pasti banyak yang boleh dipelajari oleh masyarakat di sini.
  1. Jadi, sekali lagi, terima kasih saya ucapkan. 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Saya sering mengingatkan kepada semua universiti dan institusi pendidikan tinggi negara kita. Bahawa, peranan mereka bukan sekadar mendidik mahasiswa di kampus dengan ilmu dan pengalaman terbaik. Atau melakukan kajian dan inovasi terkini dengan pelbagai pihak.
  1. Akan tetapi, universiti turut berperanan menyumbang bakti kepada masyarakat secara aktif dan berterusan.
  1. Universiti dan golongan bijak pandai tidak boleh hanya berkawan atau bergaul dengan segelintir mereka yang berada di universiti sahaja.
  1. Amalan sebegitu akan menyebabkan ilmu hanya berlegar dalam kalangan bijak pandai. Kitarannya tidak akan lengkap dan menyeluruh. Kerana tidak dicambah dan dikongsikan dengan masyarakat yang memerlukan.
  1. Justeru, apa yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sekarang sangat mudah.
  1. Berbekalkan segala kelebihan ilmu, kepakaran dan teknologi yang ada, kita mahu universiti bergerak giat mencari jalan untuk memastikan keadaan masyarakat menjadi semakin baik.
  1. Dan perkara ini harus menjadi sebahagian tanggungjawab besar dan fokus utama Ia mesti tidak boleh dipandang enteng atau dianggap sekadar sumbangan sampingan yang tidak kritikal.
  1. Atas dasar itu, kita bukan sahaja menggalakkan universiti untuk mendekati masyarakat. Dengan pelbagai program dan inisiatif. Malah, dalam setiap program dan inisiatif yang melibatkan komuniti, saya ingin tekankan beberapa perkara.
  1. Pertama, ilmu dan kepakaran yang ada mesti disusun dengan cara yang sesuai dan mudah untuk dipraktikkan oleh masyarakat.
  1. Ia tidak boleh bersifat kompleks dan rumit. Kita mahu mendekatkan masyarakat dengan ilmu. Kita mahu masyarakat benar-benar menerima hasil dari ilmu dan penyelidikan di universiti.
  1. Jadi, program-program yang disusun tidak boleh terlalu bersifat akademik atau cantik hanya di atas kertas. Kita tidak mahu diserabutkan dengan seribu satu teori dan kerangka akademik.
  1. Ini bukan satu inisiatif penerbitan atau penyelidikan yang bertujuan menembus jurnal akademik.
  1. Sebaliknya, kita mahukan real outcomes, real deal dan real impact.
  1. Program-program yang disusun mesti bersifat menyentuh dan menguruskan isu atau keperluan setempat. Ia mesti membawa hasil yang benar-benar dapat dirasakan oleh pihak masyarakat yang disantuni.
  1. Kedua, perkongsian ilmu dari universiti mesti bersifat jangka panjang dan berterusan.
  1. Untuk benar-benar memastikan wujud kesan dan manfaat yang nyata, program-program yang kita lakukan tidak boleh sekadar bermusim atau bersifat sepintas lalu.
  1. Ia mesti menjadi titik sentuhan yang berterusan. Yang mempunyai tindakan susulan.
  1. Malah, saya lebih gemar sekiranya pihak universiti menetapkan secara jelas, apakah sasaran mereka dalam sesuatu program masyarakat. Dan bagaimana semua itu boleh diukur dan dinilai hasilnya.
  1. Adakah program yang dilaksanakan mampu membantu memberi peluang pekerjaan? Atau menambah pendapatan? Atau membolehkan aktiviti ekonomi menjadi lebih rancak, lestari dan menguntungkan?
  1. Atas sebab itu, melalui program yang kita adakan ini, pihak UPM telah memberi penekanan kepada beberapa perkara.
  1. Antaranya, pemindahan ilmu bagi meningkatkan kualiti pendidikan di daerah ini, dengan sasaran untuk melebarkan akses warga komuniti setempat untuk mengikuti program pembangunan kapasiti dan intervensi pendidikan.
  1. Selain itu, daripada aspek ekonomi, program pada hari ini akan memberi penekanan kepada amalan pertanian serta aktiviti ekonomi yang menggunakan ilmu dan kepakaran hasil penyelidikan dan inovasi daripada pihak UPM.
  1. Kita sangat sedar, aktiviti ekonomi berasaskan pertanian menjadi kekuatan dan kelebihan Kota Tinggi.
  1. Tetapi, pada masa yang sama, kita percaya. Amalan, teknologi serta pendekatan yang digunakan selama ini pasti boleh ditambah baik.
  1. Jadi, pihak UPM akan kongsikan, apakah amalan-amalan pertanian yang lebih baik. Bagaimanakan kita mahu meningkatkan hasil. Apakah kaedah yang lebih sesuai digunakan bagi sesuatu tanaman atau ternakan. Di manakah boleh diperolehi benih yang baik.
  1. Dan semua itu akan dilakukan melalui 5 Projek Teras yang utama sebagai permulaan.
  1. Projek-projek teras tersebut adalah Teknologi Penanaman Halia Bentong, Teknologi Pengeluaran Sayuran Bernilai Tinggi dan Organik, Ternakan Ayam Kampung, Teknologi Biji Benih dan Bahan Tanaman serta pemprofilan usahawan tani di Kota Tinggi.
  1. Semua projek teras ini disusun secara teliti dan bersesuaian dengan keadaan di Kota Tinggi.
  1. Ia bertujuan mendorong pertumbuhan ekonomi setempat dengan menciptakan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan keupayaan masyarakat di sini.
  1. Lebih penting, melalui 5 projek teras ini, kita yakin bahawa ia akan membantu masyarakat setempat menjalankan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dengan lebih cekap, selamat dan produktif. Sekali gus meningkatkan hasil pendapatan.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Saya dan pihak kementerian sangat berharap yang Klinik Pertanian Putra Zon Selatan yang akan kita lancarkan hari ini menjadi satu lonjakan penting dalam aktiviti pertanian di Kota Tinggi.
  1. Ia mesti dibangun dan dikembangkan dengan serius dan strategik.
  1. Atas dasar itu, 5 projek teras yang kita lancarkan hari ini akan melibatkan sekali pelbagai agensi setempat di Kota Tinggi.
  1. Ini termasuklah pihak Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur, Jabatan Pertanian, Kejora, Pejabat Daerah, dan lain-lain agensi yang akan dilibat sama dari semasa ke semasa.
  1. Kita mahu semua pihak bersama-sama membantu membangunkan satu ekosistem yang benar-benar akan memimpin dan membantu masyarakat setempat.
  1. Pelbagai agensi yang terlibat ini mesti bersama-sama memberi kerjasama dan bimbingan yang bersesuaian.
  1. Kita tidak mahu selepas pihak UPM pulang kelak, Klinik Pertanian dan 5 projek teras yang kita lancarkan ini sudah tidak diteruskan atau tidak berupaya memberikan hasil yang diharapkan.

Hadirin dan hadirat yang saya muliakan,

  1. Saya sangat berharap, kerjasama pihak UPM, semua agensi terlibat dan penduduk setempat ini akan menjadi titik tolak penting dalam melonjak keupayaan dan kesejahteraan masyarakat di sini.
  1. Kejayaannya harus menjadi misi yang boleh membanggakan Dan kita semua tidak boleh berhenti setakat ini.
  1. Kita harus bersama-sama terus mencari jalan untuk memastikan bagaimana program yang kita mulakan hari ini akan boleh diteruskan dan ditambah baik.
  1. Kita mesti pastikan Klinik Pertanian Putra Zon Selatan ini menjadi nadi penting kepada aktiviti pertanian Kota Tinggi.
  1. Penyertaan masyarakat dan cakupan aktivitinya mesti diperluas. Agar lebih ramai penduduk setempat dapat menerima manfaatnya.
  1. Sekali lagi saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program pada hari ini. Khususnya kepada pihak UPM.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, dengan ini saya merasmikan KLINIK PERTANIAN PUTRA ZON SELATAN DI DAERAH KOTA
  1. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Program Klinik Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia (UPM) Zon Selatan.pdf (186 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8276
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 11:06:20.