logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS MENANDATANGANI MOU KPT - TDA

29 OGOS 2023


  1. Alhamdulillah dan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan atas kesempatan serta jemputan untuk bersama-sama dalam majlis pada hari ini.
  1. Saya ingin mulakan dengan merakam setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam membincang dan memuktamadkan kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Technology Depository Agency (TDA).
  1. Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pihak.
  1. Saya yakin, sepanjang siri perbincangan dan usaha untuk merealisasikan kerjasama ini, kita tidak akan dapat lari daripada membincangkan 3 perkara penting.
  1. Pertama, bagaimana untuk pihak industri hadir dan bersama-sama membantu melonjak kualiti pendidikan tinggi kita dengan lebih berkesan dan agresif.
  1. Kedua, bagaimana untuk sektor pendidikan tinggi menyediakan ruang dan menawarkan peluang untuk pihak industri menerima manfaat daripada ilmu dan kepakaran yang ada di universiti.
  1. Dan ketiga, bagaimana segala hubungan baik dan kerjasama antara pihak industri, IPT dan KPT berupaya untuk menyumbang kepada usaha menjayakan kerangka ekonomi MADANI yang dilancarkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Hadirin dan hadirat yang saya muliakan,

  1. Dalam banyak kesempatan, saya sering tegaskan bahawa KPT menggalas mandat besar untuk melatih dan melahirkan seramai mungkin bakat terbaik untuk negara.
  2. Malah, dalam menyumbang usaha di bawah rangka Ekonomi MADANI Pendidikan Tinggi, KPT melihat fungsi ini hadir bersama-sama dengan keperluan merancakkan penyelidikan dan inovasi, memindah dan merakyatkan ilmu serta meningkatkan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara agar terlihat dan menjadi pilihan di peringkat antarabangsa.
  1. Dalam mencapai 4 hasrat besar ini, KPT memerlukan kerjasama yang utuh dan bersepadu daripada semua pihak. Termasuklah agensi-agensi kerajaan di bawah pelbagai kementerian lain.
  1. KPT sedar, kita tidak boleh bekerja in silo dan bersendirian.
  1. Segala kelebihan dan kekuatan yang ada pada agensi-agensi atau organ Kerajaan yang lain, mesti dikongsi dan dioptimumkan.
  1. Kita mahu memastikan segala kerjasama dan dasar yang kita usahakan membawa impak atau pulangan yang maksimum.
  1. Atas dasar itu, hari ini KPT sangat berbesar hati apabila TDA selaku agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (“MOF”), bersetuju untuk bekerjasama dengan kita.
  1. Kita mengakui akan mandat, keupayaan serta kemahiran pihak TDA untuk bertindak sebagai Pihak Berkuasa Industrial Collaboration Program (“ICP”) bagi Perolehan Kerajaan.
  1. Mereka bukan sahaja akan dapat memberikan khidmat nasihat serta memacu kerjasama yang baik dengan pelbagai pihak industri.
  1. Malah, mereka mempunyai keupayaan untuk melihat jurang atau cabaran dalam industri dan teknologi yang perlu diberikan perhatian.
  1. Atas dasar itu, saya ingin membuat permintaan kepada pihak TDA. Bantulah kita di KPT dengan memberikan nasihat dan perkongsian tentang apakah industri-industri kritikal yang diperlukan masyarakat dan negara kita.
  1. Insya-Allah, dengan perkongsian dan saranan daripada pihak TDA, KPT akan menggerakkan IPT-IPT serta pusat-pusat kecemerlangan yang berada di bawah KPT untuk menjalin kerjasama yang bersesuaian.
  1. Malah, kita akan menjadikan pandangan dan saranan tersebut untuk menetapkan keutamaan dalam aktiviti kajian dan penyelidikan kita.
  1. Dengan cara ini, sudah pasti ia akan memberi nilai tambah yang besar kepada KPT yang menggalas tugas untuk memantau dan melonjak kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan teknologi oleh IPT tempatan.
  1. Ini kerana, di pihak KPT, kita bukan sahaja mahu IPT-IPT kita melakukan kerjasama bersama-sama industri dengan lebih giat dan rancak.
  1. Tetapi, kita juga mahu memastikan kerjasama yang dijalin adalah strategik dan berkualiti.
  1. Kerjasama yang berupaya untuk benar-benar membawa pemindahan teknologi dan kepakaran, menggalakkan pelaburan, memberi dimensi baharu dalam pembangunan modal insan, melebarkan akses pasaran.
  1. Dan paling penting, kerjasama strategik yang boleh merentas sempadan baik di peringkat serantau mahupun global.
  1. Pada masa yang sama, kita juga menyusun kerjasama antara KPT dan TDA ini dengan melihat isu kebolehpasaran graduan sebagai satu cabaran nasional, yang harus ditangani dengan usaha bersepadu dari semua pihak.

Hadirin dan hadirat,

  1. Saya yakin, susulan Pemeteraian MOU pada hari ini, dan penyelarasan yang akan dibuat di peringkat KPT dan TDA kelak, akan membuka lebih banyak peluang penglibatan IPT dan institusi yang berkaitan untuk kerjasama dengan pihak industri yang berkualiti dan berkepakaran.
  1. Berbekalkan sentimen dan harapan tersebut, saya amat berbesar hati, yang hari ini kita akan turut merasmikan 2 makmal penting di bawah Inisiatif ICP.
  1. Pertama, makmal Cybersecurity.
  1. Makmal ini sangat menarik kerana ia bakal menawarkan penggunaan teknologi yang maju seperti “Indra Cyber Rangedan Exercise Generation Tool (“EGT”).
  1. Ini adalah contoh-contoh teknologi yang diiktiraf spesifikasinya dan menepati piawaian keselamatan siber antarabangsa. Melalui kerjasama ini akan berlaku pembangunan perkakasan peranti, perisian serta pemindahan teknologi dan pengetahuan.
  1. Malah, pembukaan makmal ini akan membolehkan pihak UTHM menerima-pakai pemindahan kepakaran melalui latihan pelatih dan khidmat sokongan bagi penggunaan platform teknologi ini.
  1. Kesemua inisiatif ini melibatkan jumlah pelaburan sebanyak 37 juta.
  1. Yang kedua adalah Makmal “EDEN” Railway Signalling Simulator dan Automated Fare Collection (AFC) System.
  1. Makmal ini akan memberi penekanan kepada pemindahan kepakaran dalam sektor rel khususnya dalam mengadaptasi real operation environment bagi Projek MRT Laluan Putrajaya.
  1. Antara aktiviti yang akan dilakukan adalah pembangunan perkakasan peranti dan perisian, latihan tenaga manusia dan kerjasama pakar dengan pihak UTHM.
  1. Inisiatif ini pula melibatkan pelaburan sebanyak 40 Juta.
  1. Untuk makluman semua, pelaburan keseluruhan sebanyak 27 juta ini adalah hasil kerjasama pihak Indra Sistemas S.A atau “Indra” selaku ICP Provider.
  1. Kerjasama ini bukan sahaja akan membantu IPT tempatan seperti UTHM untuk meningkatkan kepakaran tempatan.
  1. Tetapi akan berupaya melonjakkannya menjadi pusat kecemerlangan yang seiring dengan sasarannya untuk menjadi hab pembangunan TVET bagi wilayah selatan.
  1. Jadi, sekali lagi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada kedua-dua pihak UTHM dan Indra Sistemas atas inisiatif ini.

Hadirin dan hadirat,

  1. Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan sekalung ucapan penghargaan kepada rakan-rakan kolaborasi ICP seperti syarikat MRT Corp. dan syarikat Prasarana Malaysia Berhad.
  1. Kedua-dua organisasi ini telah memastikan bahawa Perolehan-perolehan yang dibiayai dan dijamin oleh Kerajaan memberi nilai tambah kepada eko-sistem industri dan ekonomi negara melalui pelaksanaan ICP.
  1. Jadi, saya menyeru semua IPT tempatan yang lain untuk turut mengambil langkah proaktif dan terlibat sama dalam pelaksanaan ICP. Seperti yang saya sebutkan tadi, kita akan mengambil kira pandangan serta saranan daripada pihak TDA berkaitan bidang dan industri kritikal yang diperlukan negara.
  1. Rebutlah potensi yang dibawa melalui kerjasama dengan TDA ini secara serius dan strategik.
  1. Harapan kita, usaha dan kerjasama strategik dan bersepadu antara agensi kerajaan sebegini bukan sahaja akan melonjakkan kecemerlangan IPT tempatan, menjadikan pengisian pengajiannya lebih berkualiti, relevan dan memberikan kesan besar kepada semua pihak. Malah, akan turut menjadikan perkembangan industri dalam pasaran kita selari dengan keperluan masyarakat dan negara.
  1. Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis pada pagi ini. Dengan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya dengan berbesar hati merasmikan Majlis Menandantangani Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Technology Depository Agensi (TDA).
  1. Sekian, wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Menandatangani MOU KPT - TDA.pdf (242 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 10188
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.