logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PELUNCURAN TRANSFORMASI POLITEKNIK 2023-2030

04 DISEMBER 2023


Yang Amat Berhormat, Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

  1. Alhamdulillah, saya panjatkan rasa penuh syukur ke hadrat Allah W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita semua diberikan kesempatan untuk bersama-sama meraikan Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 pada pagi ini.
  1. Bagi pihak warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi atas kesudian memenuhi jemputan kami.
  1. Hari ini merupakan hari bersejarah kepada segmen TVET di bawah sektor pendidikan tinggi negara, khususnya politeknik.
  1. Ini kerana, pada hari ini, seluruh warga politeknik dan kolej komuniti serta Kementerian Pendidikan Tinggi ingin berkongsi dan menzahirkan secara jelas 13 Agenda Pembaharuan Kritikal (CRA) dalam Transformasi Politeknik 2023-2030.
  1. Komitmen dan kesungguhan tidak berbelah bahagi ini hadir atas kesedaran bahawa KPT adalah pemegang mandat utama dalam ikhtiar membentuk dan melahirkan bakat terbaik negara.
  1. Berbekalkan aspirasi ini, saya telah mengusulkan kepada pihak Kementerian pada awal tahun ini, agar dilakukan satu semakan besar- besaran terhadap dasar sedia ada termasuk merombak ekosistem politeknik di bawah KPT.
  1. Dan alhamdulillah, pihak Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti dan KPT telah memberikan sepenuh perhatian serta dedikasi untuk membangunkan pelan transformasi ini seperti yang akan kita luncurkan sebentar lagi.
  1. Justeru, izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini memberikan sedikit gambaran keseluruhan tentang aspirasi serta inti pati utama transformasi ini.
  1. PERTAMA: TVET UNTUK SEMUA (“TVET FOR ALL”)
  1. Selain keperluan untuk menguruskan isu kekurangan minat terhadap pendidikan tinggi dan bidang TVET, adalah kritikal untuk Kementerian Pendidikan Tinggi memastikan akses kepada pengajian politeknik diperkemas dan diperluas.
  1. Kekurangan capaian dan ekosistem yang tidak anjal bukan sahaja akan merencat perkembangan golongan muda sebagai modal insan masa depan. Malah, akan memberi kesan langsung kepada keupayaan negara menjayakan agenda pembangunan.
  1. Atas dasar itu, kita mahu membangunkan satu ekosistem politeknik yang bukan sahaja menyediakan pendekatan pengajian yang pelbagai, tetapi bersifat mudah dan berupaya menawarkan keterujaan dan tarikan baharu yang segar.
  1. Terutamanya kepada mereka yang sudah bekerja atau terlepas peluang mengikuti pengajian pada peringkat muda.
  1. Ini akan dilakukan melalui 3 strategi.
  1. Pertama, Open Distance Learning (ODL) terutamanya oleh Politeknik METrO yang membolehkan mereka yang sudah bekerja mengikuti pengajian tanpa perlu berhenti kerja.
  1. Kedua, penawaran pelbagai program micro-credentials bersifat jangka pendek bagi membolehkan sesiapa sahaja di luar sana menambah kelayakan diri.
  1. Dan ketiga, Penubuhan Pusat Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) A yang akan berpangkalan di Politeknik Ungku Omar. Pusat ini akan menyelaras proses menukar pengalaman kerja atau kelayakan semasa anak muda yang tidak mempunyai pendidikan menjadi syarat yang mencukupkan mereka menyertai pengajian tinggi khususnya di politeknik.
  1. Harapan kita, selepas ini sesiapa sahaja, tanpa mengira latar usia dan peringkat pengajian akan berpeluang menyertai program pengajian di
  1. KEDUA: MEMPELBAGAI LALUAN KEMASUKAN KHAS SERTA MEMBANGUNKAN LALUAN AKADEMIK YANG TERSUSUN, LEBIH SINGKAT DAN KOMPETITIF.
  1. Untuk makluman YAB Dato Seri dan semua yang hadir, setakat ini, pihak Kementerian dan politeknik akan menyediakan laluan berfokus kepada, antara lain, kumpulan sasar berikut;
    1. 7,600 tempat untuk lepasan kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA);
    2. 1000 tempat setahun untuk pusat asasi TVET
    3. 500 tempat setahun    untuk   lepasan   sekolah   tahfiz   secara berperingkat;
    4. 210 tempat setahun untuk Orang Kurang Upaya (OKU); dan
    5. 100 tempat setahun untuk Orang Asli.
  1. Insya-Allah, Kementerian bersedia untuk berusaha untuk menawarkan lebih banyak tempat kepada mereka dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang.
  1. Pada masa yang sama, pihak politeknik bersama-sama dengan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sedang giat menyusun semula struktur dan kandungan kurikulum yang digunakan agar tempoh pengajian dalam sesuatu bidang menjadi lebih singkat.
  1. Ini dilakukan melalui pengiktirafan serta sistem pemindahan kredit yang maksimum kepada pelajar lepasan politeknik yang mahu menyertai MTUN.
  1. Usaha ini juga akan diperluaskan kepada ILKA yang lain agar lulusan sijil ILKA dapat bersama-sama menikmati pemindahan kredit yang maksimum dan tempoh pengajian yang lebih singkat.
  1. Bagi memastikan pengambilan melalui laluan khas ini berjaya dan mencapai maksudnya, keupayaan fasiliti dan kompetensi tenaga pengajar akan ditambahbaik, selain syarat kelayakan masuk yang akan diperhalusi semula.
  1. Malah, Kementerian akan memperuntukkan dana khusus sebanyak RM6 juta bagi membolehkan tenaga pengajar politeknik sedia ada mengikuti dan mendapatkan sijil-sijil profesional sekali gus meningkatkan ilmu, kepakaran serta pengalaman mereka.
  1. Yang pasti, sesiapa sahaja yang berminat menyertai pengajian TVET di politeknik selepas ini bukan sahaja dapat melakukannya menggunakan pelbagai saluran. Tetapi mereka akan dapat melihat dengan jelas, hala tuju serta perjalanan pengajian mereka ke peringkat
  1. KETIGA: MENINGKAT DAN MEMPERCEPAT ADAPTASI TEKNOLOGI.
  1. KPT sangat memandang serius keperluan pendigitalan dan adaptasi teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), Block Chain, Augmented Reality (AR), Cloud Computing and Big Data Analytics.
  1. Setakat ini, kira-kira 30% daripada program pengajian politeknik sudah beradaptasi dan memanfaatkan pendigitalan. Maka, usaha yang berterusan sangat diperlukan.
  1. Justeru, selain pembangunan infrastruktur, salah satu langkah susulan transformasi ini, pihak Politeknik akan menggunakan peruntukan sebanyak RM2 juta khusus untuk tujuan kajian serta penyelidikan TVET. Ini termasuklah dalam hal yang akan membantu melancar serta mengoptimumkan proses peralihan dan adaptasi teknologi.
  1. Kita mahu pengajian di politeknik bersifat futuristik, dipacu oleh teknologi dan menjadi destinasi pengajian yang menarik lagi

Yang Amat Berhormat Dato Seri,

  1. KEEMPAT: PEMANTAPAN KERJASAMA INDUSTRI.
  1. Kementerian sedar bahawa kerjasama sektor pendidikan tinggi dengan pihak industri bukan sahaja kritikal. Tetapi mesti dilakukan menggunakan pendekatan yang pelbagai dan inovatif.
  1. Ini termasuklah membenarkan politeknik dipacu oleh sektor swasta, pihak industri atau mana-mana entiti yang mempunyai kelebihan dalam aspek teknologi dan ekosistem yang berpaksikan kemahiran.
  1. Bagi memastikan kerjasama politeknik dengan pihak industri lebih inovatif, bermakna dan berkesan, terdapat beberapa strategi yang akan dijayakan.
  1. Pertama, memanfaatkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri atau Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) sebagai platform khusus yang akan merancakkan hubungan serta kerjasama Kerajaan, industri dengan institusi TVET.
  1. Kementerian yakin dengan kekuatan lebih 10 persatuan yang bernaung di bawah badan ini, ekosistem TVET negara akan lebih selari dengan perkembangan industi.
  1. Apatah lagi, setakat ini, lebih daripada 50 persatuan industri mewakili 10,000 syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GITC.
  1. Kedua, Kementerian akan memastikan mandat TVET Collaboration Hub (TCH) yang telah dipersetujui dalam Majlis TVET Negara (MTVET) tahun lepas, digerakkan dengan cara yang berimpak.
  1. Setakat ini, untuk fasa pertama, Kementerian akan memberi fokus kepada 4 buah TVET Collaboration Hub dalam bidang:
  • Kejuruteraan Marin dan Kejuruteraan Mekanikal (Penghawa Dingin dan Penyejukbekuan) di Politeknik Ungku Omar,Kejuruteraan Mekanikal (Automatif) di Politeknik Sultan Azlan Shah, dan Teknologi Makanan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.
  1. Ketiga, melonjakkan 12 buah Centre of Technology (COT) sedia agar menjadi pelopor dalam penghasilan teknolosi serta inovasi.
  1. Manakala, keempat, politeknik akan mempelbagai pelaksanaan pendekatan Industry on Campus (IOC) dengan lebih meluas, terutamanya dengan mengambil pandangan semua pihak termasuk cadangan dari Ahli-Ahli Majlis Penasihat Industri-Politeknik (PIAC) yang saya pengerusikan minggu lepas.
  1. Setakat ini, kita sudah mempunyai 2 IOC iaitu di Politeknik Metro Tasek Gelugor dalam industri perfileman serta di Politeknik Metro Johor Bahru dalam sektor keusahawanan.
  1. Selain itu, penggunaan konsep work-based learning (WBL) iaitu pengajian dalam persekitaran industri secara langsung juga akan dirancakkan ke dalam lebih banyak bidang.
  1. Dan bagi melengkapkan kerjasama serta hubungan dengan pihak industri, strategi kelima yang kita lakukan adalah melalui penubuhan Reskilling and Upskilling Centre (RUC) di pelbagai politeknik.
  1. Secara asasnya, RUC merupakan satu tawaran pakej atau program latihan yang dilaksanakan oleh politeknik kepada pihak industri menggunakan pendekatan Time Sector Privatisation (TSP), iaitu suatu perkongsian pintar dan perkongsian sumber bersama pihak industri.
  1. Melalui RUC, politeknik kita akan menyusun dan menawarkan khusus atau skim latihan spesifik yang berupaya meningkatkan kemahiran serta kompetensi pekerja industri. Terutamanya dalam aspek-aspek yang dilihat ketinggalan susulan revolusi serta anjakan teknologi.
  1. Sebagai permulaan, sebanyak 16 buah politeknik telah dikenal pasti dengan sasaran 3,000 pekerja industri secara berperingkat.
  1. Yang Amat Berhormat serta hadirin sekalian,
  1. FOKUS KELIMA TRANSFORMASI POLITEKNIK 2023-2030 ini adalah MEMBANGUNKAN SEBUAH POLITEKNIK APEX.
  1. Kesemua politeknik di negara kita mesti mempunyai satu penanda aras yang cemerlang untuk diikuti. Malah, adalah penting untuk ekosistem TVET diperkasa dengan kehadiran satu institut teknologi yang unggul dan berdaya saing.
  1. Untuk tujuan itu, sebagai satu lonjakan, saya suka untuk kongsikan rancangan Kementerian untuk menaik taraf Politeknik Ungu Omar (PUO) sebagai politeknik APEX.
  1. Selain merujuk kepada Institut Teknologi Bandung, Indonesia sebagai model perbandingan yang sangat berprestij, terdapat 2 fokus dan sasaran utama di bawah penaiktarafan ini.
  1. Pertama, institusi ini akan menawarkan pelbagai program yang lebih advanced dan Kedua, komposisi peringkat pengajian institut teknologi ini akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50% program ijazah.
  1. Kesemua ini disusun ke arah mengembangkan politeknik APEX ini menjadi sebuah Institut Teknologi, insya-Allah.
  1. Yang Amat Berhormat Dato Seri,Tuntasnya, kesemua ini adalah antara sebahagian inti pati utama pihak KPT untuk memastikan politeknik di bawah Kementerian ini dapat ditransformasikan dengan selayaknya.
  1. Kami harap usaha transformasi politeknik ini akan dapat sedikit sebanyak menjelmakan aspirasi serta harapan YAB Dato Seri sendiri terhadap bidang TVET di negara kita.
  1. Sebelum berakhir, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan pelan transformasi politeknik ini.
  1. Akhir sekali, terima kasih sekali lagi kepada YAB Dato’ Seri Timbalan Perdana Menteri serta semua tetamu atas kesudian menghadiri dan menjayakan majlis Sokongan pihak Kerajaan dalam usaha ini sangat bermakna dan kami hargai.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik-2023-2030.pdf (308 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11680
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.