logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

SEMINAR PERANCANGAN HALA TUJU
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2024

23 NOVEMBER 2023


Pengurusan Tertinggi Kementerian, tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Pada kesempatan ini, saya ingin menegaskan. Biar apa pun perancangan serta penetapan hala tuju yang kita lakukan hari ini, semua itu harus dipimpin beberapa perkara secara tegas dan jelas.
  1. Pertama, bahawa KPT dan semua agensi di bawahnya, mesti menjadi kementerian yang berpandukan prestasi.
  1. Sebagai Kementerian yang menerima peruntukan kelima terbesar dalam Belanjawan 2024, kita tidak boleh sama sekali mengecewakan negara.
  1. Selain memastikan kita mempunyai perancangan yang baik, kita mesti turut memastikan kelancaran pelaksanaan segala perancangan yang kita lakukan tersebut.
  1. Malah, kita tidak boleh bergerak secara biasa-biasa. Kita mesti menonjolkan pemikiran serta prestasi yang cemerlang dan menjadi contoh kepada yang lain.
  1. Kedua, biar apa pun perancangan dan hala tuju yang kita tetapkan hari ini, kita tidak boleh sama sekali tergelincir daripada mandat dan tugas utama kita.
  1. Iaitu mendidik dan melahirkan bakat Menyelidik dan meneroka ilmu terkini serta mengembalikan semua manfaat tersebut kepada masyarakat dan negara.
  1. Mandat ini mesti kekal sebagai tugas dan keutamaan kita.
  1. Justeru, dalam melunaskan tugas dan tanggungjawab ini, saya ingin menyarankan beberapa perkara yang wajar menjadi fokus kita pada tahun hadapan.
  1. Pertama, Kementerian bukan sahaja perlu serius dalam menjayakan agenda pendigitalan dan kita mesti memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan pelbagai teknologi.
  1. Melalui pendigitalan dan pengaplikasian pelbagai teknologi terkini, kita akan dapat bergerak dan berfungsi dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
  1. Malah, kita akan berupaya untuk meneliti pelbagai isu dengan lebih menyeluruh dan mendalam. Terutamanya yang melibatkan data dan pemantauan.
  1. Kedua, saya juga ingin menyarankan agar hala tuju kementerian ditetapkan dengan cara yang akan turut melonjakkan pelbagai agensi dan segmen lain dalam sektor pendidikan tinggi.
  1. Bukannya memfokuskan hanya pada kecemerlangan akademik di IPTA.
  1. Sebaliknya, kita mesti turut memberi fokus yang serius untuk melonjakkan aspek-aspek seperti:
    1. merancang bagaimana untuk kita memposisikan IPTS supaya menjadi pelengkap dan segmen pendidikan tinggi yang berdaya saing,
    2. mengoptimumkan kepakaran dan sumbangan HPU-HPU yang kita miliki kepada negara, sama ada kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mahupun melalui sumbangan dan perkhidmatan kepada masyarakat awam,
    3. memposisikan program-program mobiliti dan edu-tourism dengan lebih strategik dan rancak.
  1. Yang penting, kita mesti melihat dan menampilkan pendidikan tinggi sebagai satu sektor yang mempunyai pelbagai cabang dan kekuatan tersendiri dalam menyumbang kepada negara.
  1. Ketiga, saya sarankan juga agar kementerian memberikan perhatian kepada pelbagai amalan terbaik yang boleh kita pertimbang dan sesuaikan dengan kementerian.
  1. Ini termasuklah untuk kita mula mengadun secara berperingkat aspek ESG dan SDG yang kini menjadi sandaran serta mega trends dunia.
  1. Bagi menjayakan semua ini, kita mesti memberi perhatian kepada beberapa amalan dan cara kerja yang merentas jabatan, bidang tugas serta perkara fokus.
  1. Pertama, pastikan segala penetapan hala tuju dan sasaran kita adalah praktikal dan bersesuaian dengan kapasiti Kementerian. Paling penting, pastikan semua sasaran tersebut mempunyai keupayaan untuk dinilai secara objektif dan jelas.
  1. Kedua, berikan perhatian kepada aspek mengukuhkan kapasiti dan keupayaan sumber manusia.
  1. Untuk menjadi Kementerian terbaik, kita mesti digerakkan oleh pasukan dan sumber manusia terbaik. Mereka yang terlatih dan mendapat pendedahan yang mencukupi dan bersesuaian dengan fungsi dan peranan.
  1. Dalam hal ini, AKEPT mesti digerakkan dan dimanfaatkan secara optimum. Sekurang-kurangnya untuk memberi pandangan dan nasihat berkaitan dengan program latihan terbaik yang boleh dipertimbang oleh Kementerian.
  1. Ketiga, mempunyai pelan tindak balas atau contigency plan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
  1. Biar apa pun cabaran, kejutan atau ketidaktentuan masa depan, KPT tidak boleh sama sekali lumpuh dan gagal beradaptasi dengan pantas dan berkesan.
  1. Keempat, kita mesti bekerja secara berkumpulan.
  1. Kita tidak boleh terus bekerja in silo dan melihat fungsi masing-masing secara terpisah dan berasingan.
  1. Perkongsian sumber, maklumat, kepakaran serta tenaga kerja mesti menjadi budaya yang diamalkan oleh semua secara serius dan strategik.
  1. Kelima, memberikan yang terbaik melebihi apa yang diminta dan sentiasa meletakkan agenda dan kepentingan nasional sebagai fokus dan keutamaan.
  1. Kerana semua ini akhirnya adalah sumbangan, darma bakti dan pemberian kita pada bangsa dan tanahair.
  1. Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua. Saya percaya, semua pihak akan sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada KPT.
  1. Terima kasih atas kerja keras dan sumbangan semua pihak. Semoga KPT atas terus cemerlang pada tahun hadapan, insya-Allah.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Seminar Perancangan Hala Tuju KPT 2024.pdf (215 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11857
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.