English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

KARNIVAL PENYELIDIKAN PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI MALAYA (PPUM) 2023

12 SEPTEMBER 2023


 Hadirin yang saya hormati

  1. Tahun lalu semasa menghadiri Karnival Penyelidikan Universiti Malaya (UMRC), saya telah menggariskan secara mendalam 5 prinsip yang seharusnya menjadi panduan dan memimpin aktiviti penyelidikan di negara kita.
  1. Pertama, kita tidak seharusnya membeza-bezakan bidang-bidang dan disiplin penerokaan ilmu. Tidak perlu ada pengelasan tentang penyelidikan manakah yang penting atau kurang penting, canggih atau tidak canggih, kompleks atau ringkas.
  1. Kedua, aktiviti penyelidikan harus melihat keperluan dan kepentingan kerjasama strategik. Khususnya dalam berhadapan dengan kekangan seperti kurangnya dana dan pembiayaan.
  1. Ketiga, penyelidikan kita mesti mengambil dua pendekatan Iaitu bersifat multidisiplin dan memberi perhatian terhadap kesan serta pendekatan jangka panjang.
  1. Keempat, penyelidikan mesti dilakukan dengan penuh bertanggungjawab dan mempunyai akauntabiliti.
  1. Dan yang kelima serta terakhir, penyelidikan harus menjadi sumber pendapatan utama universiti.
  1. Kelima-lima prinsip ini saya gariskan atas 2 kesedaran utama.
  1. Pertama, kita mahu mengelakkan pembaziran sumber, tenaga dan Maka, impak dan hasil penyelidikan mesti optimum dan benar-benar memberi kebaikan.
  1. Kedua, peruntukkan penyelidikan di negara kita masih rendah dan kurang daripada 1% KDNK negara. Dan perkara ini mesti ditambah baik.
  1. Sekali pun kelima-lima prinsip tersebut saya gariskan untuk dipertimbangkan dalam konteks sebuah universiti, saya percaya ia sebenarnya sangat relevan dan turut terpakai kepada penyelidikan oleh sebuah pusat perubatan seperti PPUM ini.
  1. Dan memandangkan ini adalah karnival penyelidikan sulung oleh PPUM, saya ingin mengambil kesempatan untuk menegaskan beberapa perkara.
  1. Sebagai sebuah institusi perubatan yang bernaung di bawah universiti, dan dipantau oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, PPUM dan semua hospital pengajar universiti (HPU) mempunyai peranan yang kritikal.
  1. Institusi ini bukan sahaja menjadi medan melatih dan mengajar bakat terbaik dalam bidang perubatan. Atau memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada orang awam.
  1. Sebaliknya, hospital pengajar turut menggalas tanggungjawab untuk merancakkan pelbagai aktiviti kajian dan kerjasama penyelidikan terbaik.
  1. Dalam persekitaran yang menyaksikan pelbagai jenis penyakit serta cabaran dunia perubatan yang semakin kritikal, sudah pasti banyak ilmu baharu yang harus diterokai.
  1. Malah, segala teknologi terkini, amalan terbaik serta pengaplikasian platform atau medium digital mesti dipandang serius.
  1. Artificial Intelligence atau AI dan machine learning adalah perkara yang sudah tidak boleh dielakkan.
  1. Ledakan teknologi disruptif ini sudah menerjah masuk ke dalam segenap spektrum kehidupan.
  1. Termasuklah ke dalam sektor perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan.
  1. Paling penting, penciptaan inovasi baharu dan pelbagai teknologi disruptif bukan lagi dipacu atau dipelopori oleh pihak universiti dan institusi pendidikan.
  1. Sebaliknya oleh pihak industri dan giant tech companies.
  1. Mereka mempunyai pengetahuan, pendedahan serta kepakaran yang jauh lebih maju dan pantas daripada pihak universiti.
  1. Disebabkan oleh perkara tersebut, institusi pendidikan dan perubatan seperti PPUM tidak boleh sama sekali berada dalam mode business as usual. Kita tidak lagi boleh bekerjasama hanya semasa kita.
  1. Maka, saya ingin menyarankan agar aktiviti kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh PPUM mesti memberikan tumpuan kepada, antara lain, perkara-perkara berikut.
  1. Pertama, dekati dan bekerjasamalah secara erat dengan pihak industri.
  1. Kita mesti menjalin kerjasama yang erat dengan pihak industri. Khususnya dalam bersama-sama melakukan penyelidikan.
  1. Sinergi mesti dibina secara strategik.
  1. Terutamanya dengan syarikat-syarikat besar yang kini memacu dan mempelopori perkembangan teknologi dan inovasi seperti AI dan robotik.
  1. Selari dengan keperluan tersebut, saya suka untuk maklumkan bahawa pihak Kementerian Pendidikan Tinggi kini sedang menyemak dan menilai semula secara mendalam pendekatan serta dasar kita berkenaan dengan start-ups di bawah IPT.
  1. Sebagai permulaan, kementerian akan menyediakan satu kertas strategik (strategic paper) yang memfokuskan kepada 2 perkara.
  1. Pertama, semakan dasar kementerian berkaitan dengan start-ups di bawah IPT.
  1. Kedua, strategi dan suntikan yang lebih berkesan untuk melonjakkan start-ups di bawah IPT sebagai penyumbang yang bernilai kepada ekonomi negara.
  1. Malah, kita menyasarkan untuk menggunakan entiti start-up ini sebagai saluran dan platform untuk melakukan lebih banyak kerjasama yang bermanfaat kepada masyarakat dapat dilakukan.
  1. Jadi, saya harap, dalam sebarang aktiviti penyelidikan yang dilakukan oleh PPUM atau mana-mana entiti di bawah KPT, perkembangan ini akan diberikan perhatian serius.
  1. Kedua, saya harap pihak PPUM juga akan memfokuskan kepada penyelidikan dan dapatan yang boleh memastikan akses serta kualiti perkhidmatan perubatan terbaik dapat diperkukuh dan diperluas.
  1. Ini bermakna, fokus kita bukan sahaja kepada dapatan dalam ilmu perubatan per se.
  1. Tetapi ia harus turut mencakupi pelbagai inovasi tadbir urus yang boleh memoden dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan perubatan.
  1. Ini kerana, sektor perubatan dan penjagaan kesihatan tidak hanya bergantung kepada ubat paling mujarab, pakar paling berpengalaman mahupun teknologi paling canggih.
  1. Akan tetapi, pengurusan dan tadbir urus keseluruhan ekosistem kesihatan dan perubatan dalam negara mesti berada pada tahap yang terbaik.
  1. Ia mesti mengupayakan kita untuk melatih dan mengekalkan seramai mungkin bakat Bukan sahaja dengan pendedahan asas. Tetapi bidang sub-kepakaran yang kritikal.
  1. Malah, perkhidmatan perubatan kita mesti diurus dan ditawarkan dengan cara yang memungkinkan kita untuk sampai dan memberikan khidmat kepada semua pihak yang memerlukan.
  1. Dan semua itu sebenarnya sangat bergantung kepada penyelidikan dan kajian yang kita lakukan.
  1. Dengan penyelidikan dan kajian di pusat seperti PPUM inilah, segala inovasi yang bersifat transformatif boleh dilakukan.
  1. Lanjutan daripada itu, perkara ketga yang ingin saya tegaskan adalah, betapa segala dapatan kritikal hasil daripada penyelidikan yang dilakukan mesti dikongsikan dengan semua pihak yang bersesuaian.
  1. Khususnya dengan semua Hospital Pengajar Universiti lain yang berada di bawah kementerian pendidikan tinggi.
  1. Malah, sebarang dapatan yang memerlukan intervensi segera daripada Kerajaan, mesti dimaklumkan kepada pihak KPT untuk diangkat dan dibawa kepada perhatian Kerajaan.
  1. Hasil dan dapatan penyelidikan yang baik, tidak akan membawa apa-apa makna jika tidak diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan dan polisi.
  1. Saya memberi komitmen bahawa KPT akan sentiasa memandang serius dapatan serta hasil penyelidikan institusi yang berada di bawah kementerian ini.
  1. Kita percaya, semua itu mempunyai manfaat dan nilai tambah penting kepada masyarakat dan negara.
  1. Ia tidak boleh dibiarkan berakhir dan terbuku hanya dalam jurnal penerbitan. Atau dibincangkan sesama ahli akademik dan segelintir pengamal perubatan semata-mata.
  1. Sebaliknya, ia harus dijadikan asas untuk kita menambah baik sistem dan ekosistem yang ada.
  1. Sebagai kementerian yang menguruskan ilmu dan kebijaksanaan negara, semua hasil penyelidikan dan kajian kita mesti dipulangkan kepada masyarakat dalam bentuk manfaat dan kebaikan.
  1. Keempat, saya harap karnival penyelidikan PPUM ini bukan sahaja akan memberi perhatian khusus kepada isu-isu yang kritikal perkhidmatan perubatan negara.
  1. Tetapi, akan turut membuka laluan dan jalan untuk mengkaji dan menyelidik semua itu secara kolaboratif dan strategik dengan pelbagai pihak.
  1. Karnival Penyelidikan PPUM mesti ditampilkan sebagai satu platform dan medium paling penting untuk negara mendapat pencerahan terkini dan terbaik dalam bidang perubatan.
  1. Malah, saya melihat, adalah tidak keterlaluan untuk kita memposisikan karnival penyelidikan PPUM ini sebagai perhimpunan intelek dan pakar, yang akan memimpin pelbagai perancangan serta pelan negara dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan.
  1. Semua itu tidak mustahil.
  1. Namun, untuk semua itu menjadi realiti, karnival ini mesti mengetengahkan hasil penyelidikan yang benar-benar berkualiti dan berupaya menyumbang secara bermakna kepada sektor penjagaan kesihatan dan perubatan negara kita.
  1. Ia mesti kita jadikan satu projek universiti untuk negara.
  1. Dan pihak kementerian akan sentiasa menyokong penuh usaha dan inisiatif seperti ini.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Sebelum berakhir, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat.
  1. Saya ucapkan selamat maju Semoga segala perkongsian, pameran dan penyelidikan yang dilakukan ini akan dipermudah dan memberi manfaat kepada semua.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Karnival Penyelidikan Pusat Perubatan Universiti Malaysia 2023.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Karnival Penyelidikan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 2023.pdf (194 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 9855
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 26 April 2024, 22:08:18.