English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGERUSI JAWATANKUASA PENASIHAT
KOLEJ KOMUNITI NEGERI JOHOR

1 SEPTEMBER 2023


Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan terima kasih atas jemputan ini.
  1. Sememangnya program pada hari ini adalah sesuatu yang penting. Ini kerana, di pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, Kolej Komuniti adalah institusi yang mempunyai peranan besar yang tersendiri.
  1. Jika universiti dan politeknik menjadi institusi konvensional yang utama dalam sektor pendidikan tinggi untuk mengeluarkan graduan diploma dan ijazah, Kolej Komuniti pula adalah segmen yang unik dan mempunyai mandat yang berbeza.
  1. Ia adalah institusi yang berhubung terus dengan masyarakat setempat.
  1. Ia menggalas peranan kritikal dalam konteks mengupayakan masyarakat sekeliling melalui kursus-kursus pendek dan latihan kemahiran yang bersesuaian.
  1. Malah, bentuk operasi, kursus-kursus yang ditawarkan dan sasarannya berbeza.
  1. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk tegaskan kembali beberapa mandat dan sasaran Kolej Komuniti dalam mengupayakan masyarakat sekeliling.
  1. Pertama, kolej komuniti adalah saluran pengajian sepanjang hayat kepada semua.
  1. Kolej komuniti adalah pusat yang seharusnya dipilih oleh sesiapa sahaja dalam masyarakat yang mahu meningkatkan kemahiran diri.
  1. Institusi ini tidak mengehadkan mana-mana kelompok umur. Ia adalah sebuah institusi yang terbuka kepada semua orang.
  1. Sesiapa sahaja yang belum bekerja, dan mahu menambah kemahiran diri. Kolej komunitilah tempatnya.
  1. Sesiapa sahaja yang sudah bekerja, namun mahu meningkatkan nilai tambah dan kebolehpasaran dalam dunia pekerjaan, maka kolej komunitilah tempatnya.
  1. Sesiapa sahaja yang sudah mempunyai kelayakan, namun ingin menambah kelayakan, maka Kolej Komunitilah tempatnya.
  1. Malah, kepada sesiapa sahaja yang tidak pernah mempunyai apa- apa kelayakan, namun ingin mempunyai sijil pertama, maka Kolej Komunitilah tempatnya. 
  1. Ini adalah fokus dan sasaran utama Kementerian Pendidikan Tinggi.
  1. Kita mahu kolej komuniti menjadi pusat yang membolehkan masyarakat mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya peringkat sijil.
  1. Kerana kita percaya kelayakan sebegitu akan membuka banyak peluang baharu kepada mereka.
  1. Kedua, Kolej Komuniti harus menjadi institusi yang menampan dan membantu masyarakat untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran besar dalam alam pekerjaan.
  1. Kemahiran sedia ada akan sentiasa menjadi lapuk dan ketinggalan dalam tempoh yang singkat.
  1. Pekerja-pekerja sedia ada sentiasa perlu dilatih semula. Dengan kemahiran baharu, ilmu baharu dan pendedahan baharu.
  1. Dalam hal ini, kita mahu kolej komuniti menjadi institusi pilihan untuk semua yang mahu melengkapkan diri dengan kemahiran baharu atau memperbaharui kemahiran lama.
  1. Kerana kita sedar, adalah sangat sukar untuk mereka yang tidak mempunyai kemahiran untuk menembus masuk atau kekal dalam alam pekerjaan.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Dengan segala mandat dan cabaran tersebut, saya harap para pengerusi yang dilantik pada hari ini akan memainkan peranan kalian dengan sebaik-baiknya. Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti mesti benar-benar melihat akan kepentingan institusi ini.
  1. Tuan-tuan dan puan-puan sebenarnya menggalas tugas yang kritikal.
  1. Pertama, saya dan pihak kementerian sangat memerlukan bantuan tuan-tuan dan puan-puan untuk mengenal pasti secara mendalam keperluan anak muda dan masyarakat setempat.
  1. Maklumat ini akan membantu kita melakukan penyusunan dan pemfokusan yang betul.
  1. Khususnya dalam memastikan kursus-kursus yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti benar-benar memenuhi kehendak dan keperluan setempat.
  1. Kita mahu kursus-kursus yang ditawarkan oleh kolej komuniti ini, walaupun pendek dan sangat murah, bersifat mengupayakan.
  1. Ia mesti benar-benar memberi impak terhadap gaya hidup dan status sosial masyarakat sekelilingnya.
  1. Kursus kita tidak boleh bersifat asal boleh, atau bersifat sekadar cukup makan dan syok sendiri.
  1. Semua itu tidak akan membawa manfaat dan faedah yang kita mahukan.
  1. Kita bukan mahu menawarkan kursus terbanyak dan termurah. Tetapi kursus-kursus terpenting dan terbaik untuk masyarakat.
  1. Kedua, tuan-tuan dan puan-puan yang dilantik mesti bersama- sama menggalas tanggungjawab membetulkan pemikiran bahawa pendidikan tinggi sudah tidak penting.
  1. Ramai anak muda hari ini yang beranggapan, tidak masuk kolej, tidak belajar tinggi, tidak ada kemahiran, tidak mengapa.
  1. Asalkan ada pekerjaan asas, asalkan boleh menjana pendapatan sendiri, semua itu sudah mencukupi.
  1. Pemikiran sebegini sangat Ia membunuh potensi diri.
  1. Masyarakat kita akan menjadi masyarakat yang tidak berkemahiran, tidak berpengetahuan, dan tidak mempunyai peningkatan dalam kerjaya.
  1. Tidak akan ada penerokaan ilmu dan kemahiran baru.
  1. Pihak industri dan pasaran kerja akan dipenuhi dengan pekerja tidak berkemahiran atau berkemahiran rendah. Kita akan mengalami kekurangan pekerja berkemahiran yang serius.
  1. Malah, taraf hidup, kadar pendapatan dan mobiliti sosial masyarakat tidak akan menjadi bertambah baik.
  1. Jadi, kita mesti bersama-sama membetulkan pemikiran yang terpesong seperti ini.
  1. Tuan-tuan dan puan-puan selaku wakil masyarakat yang berada dalam jawatankuasa penasihat ini mesti memandang serius perkara ini.
  1. Kita mesti mencari jalan untuk menarik masyarakat agar sentiasa menambah baik potensi dan kemahiran diri. Ini adalah tugas kita kepada masyarakat.
  1. Dan inilah yang menjadi aspirasi dan mandat utama Kolej Komuniti.
  1. Malah, inilah yang menjadi sasaran dan hasrat Malaysia MADANI. Yakni, membangunkan sebuah masyarakat yang berkeupayaan, yang mandiri dan mampu mencari kesejahteraan hidup.
  1. Sebab itulah kalau kita lihat, semua kolej komuniti rata-ratanya dibangunkan di tengah-tengah komuniti. Ia harus menjadi nadi masyarakat setempat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Saya dan pihak kementerian sangat berharap yang pelantikan tuan- tuan dan puan-puan akan memberi lonjakan dan nilai tambah yang besar kepada semua Kolej Komuniti di Johor.
  1. Gunakanlah kesempatan dan kedudukan ini untuk meneroka pelbagai strategi dan kerjasama baharu.
  1. Gunakanlah pengaruh dan pengalaman yang ada untuk menjadikan program-program yang ada lebih menarik dan kompetitif.
  1. Bercakaplah dengan pihak industri, agensi kerajaan, dan sesiapa sahaja untuk bersama-sama terlibat dan membantu kecemerlangan kolej komuniti.
  1. Malah, ambillah inisiatif yang proaktif dan radikal untuk mengesan dan mendekati seramai mungkin masyarakat setempat yang memerlukan lonjakan dalam hidup.
  1. Yakinkan mereka untuk menyertai Kolej Komuniti demi mengubah dan menambah baik kehidupan.
  1. Semoga semua ikhtiar ini akan memberikan kebaikan kepada masyarakat kita, insya-Allah.
  1. Sekali lagi, sekalung tahniah untuk Selamat menjalankan tugas. Dan selamat berbakti kepada masyarakat.
  1. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor (144 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 8416
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 26 April 2024, 22:08:18.