English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PENUTUP PROGRAM KHAS PERKASA KOMUNITI MADANI KOTA TINGGI

22 OKTOBER 2023


Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Saya sangat berbesar hati dapat hadir pada hari ini.
  1. Pada saya, dan pihak kementerian secara amnya, kita sangat memandang tinggi kepada Kolej Komuniti.
  1. Saya tidak pasti bagaimana pihak lain, atau pihak kolej komuniti sendiri, melihat institusi ini.
  1. Tetapi pada saya secara peribadi, kolej Komuniti mempunyai peranan yang sangat penting.
  1. Khususnya dalam proses menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menambah baik kemahiran, kelayakan dan daya saing diri.
  1. Walaupun fokus dan kekuatannya berbeza dengan universiti dan politeknik, keupayaan kolej komuniti dalam menghak upaya dan memberi lonjakan kepada kehidupan masyarakat setempat tidak boleh dinafikan sama sekali.
  1. Jika universiti dan politeknik memfokuskan kepada untuk mengeluarkan graduan diploma dan ijazah, Kolej Komuniti pula adalah segmen yang unik dan mempunyai mandat yang berbeza.
  1. Ia adalah institusi yang berhubung terus dengan masyarakat setempat.
  1. Ia menggalas peranan kritikal dalam konteks mengupayakan masyarakat sekeliling melalui kursus-kursus pendek dan latihan kemahiran yang bersesuaian.
  1. Malah, bentuk operasi, kursus-kursus yang ditawarkan dan kumpulan sasarnya adalah berbeza.
  1. Berdasarkan fungsi dan kelebihan yang ada pada rangkaian Kolej Komuniti ini, saya melihat terdapat beberapa perkara yang boleh menjadi fokus Kolej Komuniti.
  1. Pertama, kolej komuniti harus menjadi saluran utama pengajian sepanjang hayat kepada semua.
  1. Saya melihat wujud kesesuaian dan keperluan untuk kita mengangkat dan memposisikan Kolej Komuniti sebagai pusat utama program Pembelajaran Sepanjang Hayat negara.
  1. Kolej komuniti adalah pusat yang seharusnya dipilih oleh sesiapa sahaja dalam masyarakat yang mahu meningkatkan kemahiran diri.
  1. Institusi ini tidak mengehadkan mana-mana kelompok umur. Ia adalah sebuah institusi yang terbuka kepada semua orang.
  1. Kita mahu kolej komuniti menjadi pusat yang membolehkan masyarakat mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya peringkat sijil.
  1. Kedua, Kolej Komuniti harus menjadi institusi yang membantu masyarakat untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran besar. Khususnya dalam membantu diri dalam alam pekerjaan.
  1. Kemahiran sedia ada akan menjadi lapuk dan ketinggalan dalam tempoh yang singkat.
  1. Pekerja-pekerja sedia ada sentiasa perlu dilatih semula. Dengan kemahiran baharu, ilmu baharu dan pendedahan baharu.
  1. Dalam hal ini, kita mahu kolej komuniti menjadi institusi pilihan untuk semua yang mahu melengkapkan diri dengan kemahiran baharu atau memperbaharui kemahiran lama.
  1. Kerana kita sedar, adalah sangat sukar bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran untuk menembus masuk atau kekal dalam alam pekerjaan.
  1. Jadi, kita mesti pastikan yang kursus-kursus yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti benar-benar memenuhi kehendak dan keperluan setempat.
  1. Kursus-kursus yang ditawarkan oleh kolej komuniti, walaupun pendek dan sangat murah, mesti bersifat relevan dan mengupayakan.
  1. Ia mesti benar-benar bersifat transformatif. Ia mesti memberi impak terhadap gaya hidup dan status sosial masyarakat sekelilingnya.
  1. Dan atas sebab itulah, di pihak Kementerian, fokus kita sekarang adalah untuk mengangkat Kolej Komuniti sebagai pusat yang membantu meningkatkan kadar pendapatan dan mobiliti sosial masyarakat.
  1. Ia adalah saluran dan cara KPT untuk menyokong ekonomi Madani dalam aspek meningkatkan kesejahteraan hidup.
  1. Bersandarkan kepada peranan penting ini, adalah tidak pelik apabila dalam Belanjawan 2024, YAB Perdana Menteri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pelaksanaan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di 105 buah Kolej Komuniti yang melibatkan 5,000 komuniti tumpuan.
  1. Peruntukan ini tidak lain dan tidak bukan adalah satu pengiktirafan kepada keupayaan rangkaian kolej komuniti kita di seluruh negara.
  1. Kita sedar dan mengakui keberkesanan Kolej Komuniti untuk menjadi pusat yang menawarkan intervensi sosial yang penting kepada masyarakat sekeliling.
  1. Kedudukan Kolej Komuniti yang berada di tengah-tengah masyarakat, keanjalan program dan pengisian latihannya, serta struktur yurannya yang sangat minimum, membolehkan Kolej Komuniti menjadi pemain barisan hadapan dalam membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat secara langsung dan berkesan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Saya harap selepas ini, Kolej Komuniti akan terus menjadi destinasi pilihan segenap lapisan masyarakat biar apa pun latar belakangnya.
  1. Institusi ini mesti terus kita perkasakan
  1. Insya-Allah, saya memberi jaminan bahawa KPT tidak akan sama sekali membiarkan keadaan kolej komuniti merosot dan menjadi tidak kompetitif.
  1. Kita akan terus memberi perhatian yang serius kepada perjalanan dan sumbangannya kepada pelatih dan masyarakat setempat.
  1. Kerana kita mahu kolej komuniti menjadi suatu segmen pendidikan tinggi yang mempunyai keunggulan dan hala tujunya yang tersendiri.
  1. Sebelum berakhir, sekali lagi terima kasih saya ucapkan kepada semua yang hadir. Dan terima kasih atas undangan ini.
  1. Tidak ketinggalan, tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya mengikut program ini dengan tekun dan bersungguh-sungguh.
  1. Selamat maju jaya saya ucapkan.
  1. Dengan lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini menyempurnakan Program Khas Perkasa Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti MADANI Kota Tinggi.

Sekian terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Penutup Program Khas Perkasa Komuniti MADANI Kota Tinggi.pdf (210 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 7995
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 26 April 2024, 22:08:18.