10 Pemimpin Masyarakat Pahang Terima Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti

10 Pemimpin Masyarakat Pahang Terima Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti
English translation not available for this content.

Seramai 10 orang pemimpin masyarakat Negeri Pahang telah menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada 10 buah Kolej Komuniti naungan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di negeri Pahang.

Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di sini semalam.

"Kolej Komuniti (KK) merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai peranan yang tersendiri, besar, unik dan strategik di mana KPT melantik Pengerusi Penasihat mewakili komuniti untuk menggerakkan dan menjayakannya", ucap YB Menteri Pendidikan Tinggi.

Menurut beliau, KK merupakan satu daripada tiga (3) institusi di bawah KPT yang benar-benar bertanggungjawab dalam memastikan komuniti memiliki nilai-nilai yang tepat bagi mengupaya, memperkasa dan memajukan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mampu merubah taraf kehidupan dan ekonomi masing-masing.

"Kepada Pengerusi-pengerusi yang saya percaya mempunyai kesungguhan dan keinginan untuk membangun dan majukan komuniti masing-masing, berlumba-lumbalah dalam merealisasikan cita-cita tersebut," seru beliau.

Pada majlis tersebut juga, beliau turut mengumumkan cawangan ke-11 KK yang akan dibuka tidak lama lagi di Jelai, Pahang.

Selain itu, beliau turut menawarkan KK melalui pelbagai program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang ditawarkan sebagai sebuah instrumen kepada mana-mana pihak sama ada kementerian lain atau kerajaan negeri dalam usaha mengupayakan masyarakat.

Malah, KPT turut mengumumkan kenaikan peruntukan sedia ada kepada RM50 ribu mulai 2024 kepada setiap KK bagi melaksanakan program PSH sejajar dengan peranan mereka yang mampu menawarkan apa jua bidang kursus yang diperlukan oleh komuniti masing-masing.

Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.

  • Last updated on .
  • Hits: 1217
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.