5 Fokus KPT Transformasi Ekosistem Politeknik Negara Menjelang 2030

5 Fokus KPT Transformasi Ekosistem Politeknik Negara Menjelang 2030
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengumumkan lima (5) fokus bagi mentransformasikan ekosistem pendidikan politeknik negara iaitu TVET untuk semua lapisan masyarakat; mempelbagai laluan kemasukan khas merangkumi laluan akademik yang tersusun, lebih singkat dan kompetitif; meningkat dan mempercepat adaptasi teknologi; pemantapan kerjasama industri; serta menaik taraf Politeknik Ungku Omar menjadi sebuah Politeknik Apex.

Kesemua fokus tersebut merupakan gambaran keseluruhan yang dipikul KPT sebagai pemegang mandat utama dalam ikhtiar membentuk dan melahirkan bakat terbaik negara, jelas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Peluncuran Tranformasi Politeknik 2023-2030 di sini pagi tadi.

Dalam majlis yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM), YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tersebut, telah turut dilancarkan Badan Koordinasi Kerajaan-Industri (GITC) sebagai platform khusus yang akan merancakkan hubungan serta kerjasama kerajaan, industri dan institusi TVET.

Selain itu, YAB TPM telah turut menyaksikan penubuhan Reskilling and Upskilling Centre (RUC) yang merupakan satu program latihan yang bakal dilaksanakan di 16 buah politeknik kepada pihak industri menggunakan Time Sector Privatisation (TSP), iaitu suatu perkongsian pintar dan perkongsian sumber bagi meningkatkan kemahiran serta kompetensi lebih 3,000 orang pekerja industri secara berperingkat agar kekal seiring dengan anjakan teknologi semasa.

Hadir sama Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail.

  • Last updated on .
  • Hits: 1381
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.