Ahli Parlimen Belia Malaysia Cadang Penggubalan Akta Latihan Industri

Ahli Parlimen Belia Malaysia Cadang Penggubalan Akta Latihan Industri
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud pada pagi ini telah hadir dalam Sesi Libat Urus bersama Ahli Parlimen Belia Malaysia di Sabah bagi membincangkan cadangan penggubalan Akta Latihan Industri untuk memperjuangkan kebajikan pelajar-pelajar Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini.

Cadangan ini diangkat oleh Ahli Parlimen Belia Malaysia dalam sesi pertemuan tersebut, antara lain demi memastikan terdapat suatu undang-undang khusus bagi menjamin kemaslahatan mahasiswa yang menjalani latihan industri di sektor awam mahupun swasta.

Sesi perbincangan tersebut turut meliputi perkara penting berkaitan penstrukturan bayaran elaun, skop kerja yang bersesuaian dan tanggungjawab penyedia pendidikan.

Saudara Azrhul Niezam, salah seorang Ahli Parlimen Belia Malaysia menyatakan bahawa usul tersebut sebelum ini telah dibahas dan diluluskan di peringkat Parlimen Belia Malaysia. Susulan sesi libat urus bersama wakil-wakil mahasiswa Sabah, cadangan tersebut dibawa ke perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Timbalan Menterinya.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah wakil-wakil mahasiswa, wakil pelatih industri, wakil Alumni Felo SMJ dan wakil Ahli Dewan Belia Sabah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 364
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 30 April 2024, 23:06:49.