Dewan Konsert Seri Budiman Lembaran Baharu Bangunkan Bakat Pelajar UiTM

Dewan Konsert Seri Budiman Lembaran Baharu Bangunkan Bakat Pelajar UiTM
English translation not available for this content.

Persembahan bertenaga para pelajar dan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertemakan 'Ecleticsm' telah mengisi upacara kelahiran semula Dewan Seri Budiman (DSB) yang kini dipanggil Dewan Konsert Seri Budiman (DKSB) malam tadi.

DSB yang dahulunya merupakan tanda ikonik lambang kejayaan graduan dan warga UiTM telah dinaik taraf menjadi sebuah dewan persembahan yang mampu memenuhi keperluan bunyi sesebuah kumpulan orkestra atau muzik dengan kapasiti penonton seramai 564 orang pada satu-satu masa.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menandatangani plak perasmian sebagai simbolik majlis bersejarah tersebut sambil disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose serta Naib Canselor UiTM, YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor.

Menurut YB Menteri, DSB menyimpan sejarah panjang sebagai sebuah bangunan yang pernah menjadi ruang pameran, persidangan tempatan dan antarabangsa serta menjadi saksi kepada majlis-majlis konvokesyen UiTM suatu masa dahulu.

Justeru, selaras dengan misi UiTM untuk berdaya saing dan maju ke hadapan, DKSB kini dilengkapi dengan segala teknologi serta instrumen termoden agar mampu menjadi infrastruktur terbaik dalam membangunkan bakat anak tempatan ke pentas global.

Tambahnya lagi, DKSB akan terus menjadi saksi kepada lembaran sejarah yang bakal tercipta seraya berharap agar bangunan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para pelajar serta komuniti setempat.

  • Last updated on .
  • Hits: 1769
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.