I-MInE 2023 Peluang Pelajar Pamer Produk Inovasi Ke Peringkat Antarabangsa

I-MInE 2023 Peluang Pelajar Pamer Produk Inovasi Ke Peringkat Antarabangsa
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan (MASMED), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menganjurkan Majlis Penutupan Program International Millennipreneur Innovation and Commercialization (I-MInE) 2023 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian di sini petang tadi.

Program pertandingan dan pameran prototaip berunsurkan teknologi tersebut memberi peluang kepada pelajar dalam menghasilkan inovasi produk berpotensi tinggi untuk dikembangkan ke peringkat yang lebih berdaya saing dan komersial.

Sebanyak 200 produk yang melibatkan 1000 orang peserta dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan dan antarabangsa telah menyertai program yang julung kali diadakan ini.

Menerusi I-MInE, perkembangan ekosistem keusahawanan berteraskan inovasi teknologi di peringkat global melalui jalinan kerjasama dengan peserta dari luar negara dijangka mampu ditingkatkan.

Pada majlis yang sama, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara KPT yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany dan Bank Islam Malaysia Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, YBhg. Dato’ Mohd Muazzam Mohamed.

Melalui MoU tersebut, Bank Islam telah diberi kepercayaan dan amanah dalam merealisasikan kerjasama strategik bersama KPT untuk membimbing warga siswa meneroka bidang keusahawanan, meningkatkan pengupayaan diri dan memastikan kebolehpasaran graduan dapat ditingkatkan.

Selain itu, Bank Islam turut akan terus menawarkan program celik kewangan bagi mewujudkan kesedaran dan membantu para pelajar menguruskan objektif jangka panjang kewangan mereka.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose; Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid; dan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, YBrs. Puan Fazidah Mustafa.

  • Last updated on .
  • Hits: 1861
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.