Kerjasama IPT Awam Dan Swasta Tangani Isu Kebolehpasaran Graduan

Kerjasama IPT Awam Dan Swasta Tangani Isu Kebolehpasaran Graduan
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa mengalu-alukan jalinan kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta bagi menangani dua (2) isu besar dalam aspek kebolehpasaran graduan iaitu pengangguran (unemployment) dan juga ketidakpadanan pekerjaan (underemployment).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata demikian ketika membuat lawatan rasmi ke Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya pagi tadi.

Justeru, kolaborasi kedua-dua sektor yang melibatkan pengalaman, penyelidikan dan kepakaran unik sesama mereka dilihat mampu menawarkan solusi kepada isu-isu tersebut, sekaligus membantu kepada memacu kemajuan negara.

Pada lawatan di MMU tadi, beliau telah disambut oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Dato' Dr. Mazliham Mohd Su'ud bersama barisan lembaga pengarah yang lain.

Sejak 26 tahun penubuhannya, MMU telah memeta pelbagai pencapaian membanggakan dalam melahirkan banyak bakat tempatan dan antarabangsa bertujahkan bidang IT, komputer, telekomunikasi, kreatif dan perniagaan.

Para alumni MMU turut merancakkan ekonomi tempatan dengan pewujudan banyak syarikat pemula, sekali gus berupaya membuka peluang pekerjaan kepada ramai graduan.

YB Datuk Ts. Mustapha kemudiannya dibawa melawat ke sekitar kampus MMU Cyberjaya bagi melihat studio, galeri dan makmal yang ada di situ.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar dan berkesempatan membuat rakaman video ucapan selamat datang khusus buat para mahasiswa baharu MMU. 

  • Last updated on .
  • Hits: 757
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 04 May 2024, 16:50:23.