Kontinjen KPT Meriahkan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan

Kontinjen KPT Meriahkan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan
English translation not available for this content.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan untuk mencemar duli bagi memeriahkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah/2024 Masihi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah itu telah disambut oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan dif-dif kehormat.

Bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI”, tema tahun ini merupakan manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat berteraskan konsep al-Falah ( kejayaan ) yang perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI.

Pada kali ini, hampir 6,000 orang wakil, delegasi dan tetamu telah menyertai sambutan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menghantar kontinjen bagi menyertai perarakan yang telah diketuai Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Sambutan Maulidur Rasul yang disambut saban tahun di negara ini bersempena peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW tersebut mempunyai banyak pengajaran dan nilai yang dapat dicontohi dan diaplikasikan dalam kehidupan ummah.

Malah, sambutannya mempunyai pengertian tersendiri dalam mendidik masyarakat agar sentiasa menghayati peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam.

Semoga sambutan Ma’al Hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat selaras dengan tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1078
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 23 October 2024, 05:04:28.

sirim-logo