KPT Peka Peluang Pendidikan Tinggi Golongan Pelarian

KPT Peka Peluang Pendidikan Tinggi Golongan Pelarian
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa peka dengan perjuangan golongan pelarian dalam mendapatkan peluang saksama kepada pendidikan sebagaimana warganegara lain.

Percaya bahawa pendidikan akan memberikan masa hadapan yang lebih baik serta satu-satunya jalan untuk golongan rentan ini memperolehi kembali keyakinan dan jati diri, KPT bersedia untuk bekerjasama dengan pihak antarabangsa untuk menawarkan prasarana pendidikan tinggi negara kepada mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan hal yang demikian dalam program "Research Conference on Refugee Studies and Forced Displacement" anjuran Asia School of Business (ASB) di sini pagi tadi.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Penasihat Pendidikan Tinggi kepada Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Prof. Emeritus Dato' Dr. Morshidi Sirat.

Pada kunjungan YB Menteri Pendidikan Tinggi ke Qatar Mei lalu, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Qatar Foundation dan dituruti dengan Pertubuhan Al Thani berkisar bantuan dan penajaan para pelajar dari negara-negara konflik untuk mendapatkan peluang pendidikan tinggi di Malaysia.

Hasil perbicangan tersebut telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk menerima para pelajar tajaan kedua-dua organisasi tersebut bagi membuka jalan kepada mereka untuk menggapai kecemerlangan akademik yang sukar dicapai di negara asal masing-masing, sekali gus membantu mereka keluar dari kelodak konflik berpanjangan.

Selain itu, beliau turut menjadikan program kerjasama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan International Educational, Scientific and Cultural Organisation (IESCO) melibatkan Rohingya Education Centre (REC Gombak) sebagai contoh yang boleh dijadikan inspirasi di mana kolaborasi ini telah menyediakan latihan dan pendidikan yang sesuai untuk golongan pelarian Rohingya dalam menjejak kaki ke menara gading.

  • Last updated on .
  • Hits: 1822
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 07 May 2024, 17:07:26.