Menteri KPT Luluskan 6 Projek Utama Unimas Bernilai RM4.8 Juta

Menteri KPT Luluskan 6 Projek Utama Unimas Bernilai RM4.8 Juta
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir meluluskan enam projek utama di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bernilai RM4.8 juta.

Enam projek utama berkenaan adalah di bawah projek penyelenggaraan fasiliti Universiti Awam RP4 2024 bagi kerja-kerja menaiktaraf, membaikpulih, penggantian, penyelenggaraan fasiliti di dalam kampus.

Antara projek utama yang memerlukan tindakan segera adalah kerja-kerja penyelenggaraan bangunan di kolej-kolej kediaman pelajar, kediaman staf dan kerja baik pulih ruang dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran usang.

Pengumuman itu dibuat YB Menteri ketika sesi libat urus bersama warga UNIMAS dalam program Semarak Kampus MADANI yang bermula di Zon Sarawak tengah hari tadi.

Negeri Sarawak menjadi zon pertama dikunjungi bermula 5 hingga 6 Mac dengan dihoskan oleh UNIMAS dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Turut sama dalam program ini adalah Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Hj. Mohd. Zahari Ismail.

Turut bersama Naib Censelor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Hj. Othman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Operasi), Prof. Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib.

Berkonsepkan program turun padang, YB Menteri dan pengurusan tertinggi KPT akan melihat situasi sebenar di peringkat institusi dan mendengar sendiri keluh kesah pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi. 

Ini bagi memastikan aspek kebajikan terutamanya bagi para pelajar dan kakitangan dititikberatkan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 478
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 29 April 2024, 11:06:20.