MoU KPT-TDA Manfaatkan Pemindahan Ilmu Mantapkan Inovasi Watan

MoU KPT-TDA Manfaatkan Pemindahan Ilmu Mantapkan Inovasi Watan
English translation not available for this content.

Memorandum kerjasama (MoU) yang termeterai antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan agensi di bawah Kementerian Kewangan iaitu Technology Depository Agency (TDA) hari ini akan merintis kepada pelbagai peluang pemindahan teknologi yang bakal memantapkan lagi aktiviti inovasi watan.

Melalui MoU tersebut, TDA selaku pihak berkuasa Industrial Collaboration Program (ICP) bagi Perolehan Kerajaan, akan bekerjasama dengan KPT bagi mengenalpasti teknologi, perkakasan atau perisian di dalam sesuatu produk yang boleh dimajukan melalui kepakaran dan penyelidikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berdasarkan tujahan masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin yang hadir menyaksikan pemeteraian MoU di Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh tadi turut menyatakan bahawa kerjasama ini bakal memantapkan lagi program pembangunan bakat negara.

Di bawah inisiatif ICP, beliau telah turut merasmikan dua (2) buah makmal bernilai RM 52.27 juta yang telah dibangunkan di UTHM Kampus Pagoh dengan kerjasama pihak Indra Sistemas S.A selaku 'ICP provider' kepada TDA.

Makmal tersebut ialah makmal Cybersecurity yang diiktiraf spesifikasinya dan menepati piawaian keselamatan siber antarabangsa; serta makmal “EDEN” Railway Signalling Simulator dan Automated Fare Collection (AFC) System yang dibangunkan sebagai pemindahan kepakaran dalam sektor rel khususnya dalam mengadaptasi real operation environment bagi Projek MRT Laluan Putrajaya.

Menurut beliau, IPTA terpilih untuk program kerjasama dengan TDA ini akan memanfaatkan sebaiknya peluang pemindahan ilmu ini dalam usaha melonjakkan kecemerlangan IPT tempatan, menjadikan pengisian pengajiannya lebih berkualiti, relevan dan memberikan kesan besar kepada semua pihak.

"Selain itu, KPT juga akan membuat penilaian berdasarkan KPI agar makmal-makmal ini benar-benar mencapai matlamatnya dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara," ujar beliau.

📸 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

  • Last updated on .
  • Hits: 2081
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 07 May 2024, 17:07:26.