MQA Lancar E-Mas, Platform Bersepadu Jaminan Kualiti Dan Akreditasi Pendidikan Tinggi Negara

MQA Lancar E-Mas, Platform Bersepadu Jaminan Kualiti Dan Akreditasi Pendidikan Tinggi Negara
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah melancarkan sistem Pendigitalan Akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu ‘Electronic MQA Accreditation System’ (e-MAS) di Majlis Tautan Kasih MQA Bersama Media 2024 tengah hari tadi.

Pengenalan e-MAS bakal mengintegrasikan kesemua modul-modul pengurusan berkaitan jaminan kualiti dan akreditasi untuk mewujudkan satu platform bersepadu yang memberi nilai tambah dan kemudahan kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini.

Menurutnya, inisiatif MQA ini bertepatan dengan satu daripada lima (5) fokus utama yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi iaitu Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya yang sedang menyaksikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan untuk memperhebat ekosistem pendigitalan dalam semua proses dan meningkatkan prosedur aksesibiliti untuk kebolehcapaian maklumat kepada umum.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian tersebut, YB Timbalan turut menyaksikan memorandum kerjasama (MoU) antara MQA dengan rakan strategik dari Indonesia iaitu Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT).

MoU antara dua badan jaminan kualiti tersebut bakal memudah cara elemen pengiktirafan bersama (mutual recognition), sekali gus memberi impak positif kepada para pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan begitu juga pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Indonesia.

Majlis Tautan Kasih MQA Bersama Media 2024 telah dianjurkan oleh MQA sebagai meraikan sumbangan para pengamal media yang sentiasa menyokong usaha dan insiatif agensi tersebut dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Hadir sama Pengerusinya, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Last updated on .
  • Hits: 372
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 03 May 2024, 17:19:48.