PKKG 2023 Medan Diskusi Peluang Kerjaya Masa Hadapan Graduan

PKKG 2023 Medan Diskusi Peluang Kerjaya Masa Hadapan Graduan
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) 2023 yang disertai lebih 300 orang jemputan di ibu negara pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin turut hadir untuk menyempurnakan PPKG 2023 serta menyampaikan ucaptamanya di hadapan para ahli akademia IPT; pemain-pemain industri; kementerian dan agensi berkaitan; serta para wakil mahasiswa.

Persidangan yang dijayakan bersama rakan strategik iaitu Talent Corporation Malaysia (TalentCorp); Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC); Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); dan LinkedIn Malaysia itu bertujuan untuk mengenal pasti dan berbincang berkaitan potensi pasaran kerja graduan di masa hadapan.

PPKG 2023 turut menjadi platform dalam memformulasikan intervensi terbaik bagi KPT meningkatkan kebolehpasaran graduan, serta menentukan penyelesaian terbaik bagi isu-isu berkaitan ketidaksepadanan pekerjaan dengan kemahiran, gaji permulaan, nilai tambah dan pelbagai lagi.

Malah, penganjuran PPKG 2023 ini selaras dengan satu daripada inisiatif di bawah Strategi Dua: Peluasan Kerjaya Pelajar di dalam Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021 – 2025 yang menjadi panduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam menjayakan agenda kebolehpasaran graduan masing-masing.

Antara nama-nama besar yang menyampaikan buah fikiran kali ini adalah Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Datuk Mohamad Idham Nawawi, Datuk Dr. Tengku Naufal Tengku Mansor, Datuk Dr. Mohd Gazali Abas, Dato’ Mohd Izani Ghani, Prof. Dato’ Ts. Dr. Shahrin Sahib @Sahibudin, Dr. Murali Raman, Raja Azmi Raja Adam, Puan Nur Mastura Mansor, Encik Ruban K. Kanagaratnam, Encik Idham Sabki Baharum dan Encik Nizam Abd. Razak.

Pada majlis yang sama, YB Menteri turut menyaksikan upacara Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT bersama SIRIM Berhad; menyerahkan Watikah Pelantikan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Chartered Institute of Logistics & Transport Malaysia (CILTM); serta meluncurkan Portal GEM@KPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 1941
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.