Politeknik Ibrahim Sultan Disaran Tingkat Keterlihatan Bidang TVET

Politeknik Ibrahim Sultan Disaran Tingkat Keterlihatan Bidang TVET
English translation not available for this content.

Warga Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) diseru untuk meningkatkan keterlihatan bidang TVET dalam usaha menarik minat dan penyertaan generasi muda Malaysia sebagai pilihan kerjaya utama, sekali gus dapat melahirkan bakat profesional dan berkemahiran tinggi sesuai dengan keperluan semasa industri.

Saranan berikut dianjurkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin kepada warga PIS ketika program lawatan kerja rasmi beliau ke sini pagi tadi.

Menurut beliau, usaha pemerkasaan tersebut boleh diteruskan dengan meningkatkan jalinan strategik bersama sektor industri bagi memastikan program yang terkini ditawarkan serta mampu menghasilkan penemuan dan inovasi baharu yang dapat memantapkan lagi bidang TVET negara.

Selain itu, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) turut disaran untuk mewujudkan ekosistem politeknik yang kondusif dan lestari, merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), kemudahan serta penginapan.

Tambahnya lagi, masa depan negara sentiasa bergantung harap kepada sektor pendidikan tinggi yang mana para mahasiswa yang dilahirkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan kelak inilah yang akan memacu kesejahteraan dan kemajuan Malaysia di pentas antarabangsa.

YB Menteri seterusnya dibawa melawat ke sekitar PIS sambil diiringi oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, dan Timbalan Pengarah (Akademik) PIS yang menjalankan fungsi Pengarah, YBrs. Ts. Hj. Hamdan Samdin.

  • Last updated on .
  • Hits: 2349
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:20:15.