Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan Dirai Meriah

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan Dirai Meriah
English translation not available for this content.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (SPBYDA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang diiringi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan bercemar duli berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang telah diadakan di Putrajaya pagi tadi.

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim serta barisan Menteri-menteri Kabinet, termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal turut sama hadir ke acara tersebut.

Kira-kira 100 ribu hadirin telah membanjiri Dataran Putrajaya untuk menyaksikan upacara perarakan yang telah dijayakan oleh sekitar 17,000 peserta kontinjen daripada kementerian dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan badan beruniform, serta wakil dari syarikat-syarikat swasta.

Ruang angkasa Putrajaya turut gemuruh pagi tadi apabila para hadirin termasuk para kenamaan telah dipersembahkan dengan pertunjukan udara yang telah mempamerkan gabungan formasi oleh pelbagai agensi penguat kuasa negara.

Sambutan tahun ini telah disemarakkan lagi dengan semangat dan kesungguhan para pengunjung yang hadir dari serata Malaysia, malah ada yang sanggup berkumpul di Dataran Putrajaya semenjak tengah malam tadi biarpun cuaca hujan.

Kami, seluruh warga Kementerian Pendidikan Tinggi turut sama ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-66 kepada semua rakyat Malaysia.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia

  • Last updated on .
  • Hits: 1448
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.